Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Delegasi negara hadir mesyuarat anjuran WHO di Geneva

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Menteri-menteri Kesihatan dan wakil-wakil dari beberapa buah negara ahli Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (EB WHO) telah menghadiri Mesyuarat Lembaga Eksekutif Sesi Ke-157 yang berlangsung di Geneva, Switzerland bermula pada 28 hingga 29 Mei lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, menyatakan delegasi Negara Brunei Darussalam ke Mesyuarat berkenaan diketuai oleh Perwakilan Tetap Negara Brunei Darussalam ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Geneva, Switzerland, Puan Yang Terutama Dayangku Mazlizah binti Pengiran Haji Mahalee serta beberapa orang pegawai kanan Kementerian Kesihatan.

    Negara Brunei Darussalam telah pun diterima menjadi ahli Lembaga Eksekutif pada WHA77 pada 2024, selaku salah satu wakil negara-negara dari Rantau Pasifik Barat Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk terma Mei 2024 – Mei 2027.

    Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia adalah terdiri daripada 34 buah negara ahli yang dilantik untuk penggal tiga tahun mewakili setiap rantau WHO serta bersidang dua tahun sekali dengan mesyuarat pertama pada awal setiap tahun untuk membincangkan agenda dan resolusi bagi Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) untuk tahun berkenaan.

    Mesyuarat kedua seterusnya diadakan susulan sesi Perhimpunan Kesihatan Sedunia WHA yang berfungsi untuk melaksanakan keputusan dan dasar WHA serta memberikan panduan bagi memudahkan kerja WHO secara amnya.

    Mesyuarat tersebut membincangkan mengenai beberapa isu termasuk hasil WHA78, laporan Programme, Budget and Administration Committee of the Executive Board, laporan Standing Committee on Health Emergency Prevention, Preparedness and Response (SCHEPPR) dan yang berkaitan pengurusan, urus tadbir dan kewangan.

    Negara Brunei Darussalam juga merupakan ahli SCHEPPR dan mewakili Rantau Pasifik Barat untuk terma dua tahun.

    Puan Yang Terutama Dayangku Mazlizah mengetuai delegasi yang menghadiri Mesyuarat Lembaga Eksekutif Sesi Ke-157 yang berlangsung di Geneva, Switzerland. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KESIHATAN
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda