Oleh: Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MEI – Mesyuarat Ketua Pentadbiran Kastam Serantau Asia/Pasifik (A/P RHCA) Organisasi Kastam Sedunia (WCO) ke-26 telah diadakan di Hong Kong, China pada 18 hingga 22 Mei lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), di sini, menyatakan Pemangku Pengawal Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Awang Muhammad Azizil Hakim bin Haji Brahim bersama beberapa orang pegawai kanan kastam telah menghadiri mesyuarat tersebut yang dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Kastam Hong Kong, Chan Tsz-tat, selaku Naib Pengerusi WCO bagi Rantau Asia Pasifik.
Mesyuarat yang dihadiri oleh ketua-ketua pentadbiran kastam di WCO Rantau Asia Pasifik tersebut juga merupakan sebuah platform bagi penyelarasan dan kerjasama berkaitan hal ehwal kastam seperti aktiviti perdagangan ke arah pembangunan dalam rantau Asia Pasifik.
Ini termasuk kemas kini dan semakan terkini Pelan Strategik WCO, laporan-laporan dari pejabat-pejabat serantau merangkumi program-program pembangunan kapasiti, kepatuhan dan operasi penguatkuasaan serta pengiktirafan makmal-makmal kastam dan pusat latihan WCO serantau.
Mesyuarat berkenaan juga memainkan peranan penting dalam menyelaraskan ahli-ahli Asia Pasifik dengan matlamat utama Organisasi Kastam Sedunia.
Dalam memupuk hubungan yang erat antara ahli-ahli WCO A/P, pertukaran maklumat mengenai isu-isu kastam global secara berkala juga diadakan melibatkan badan-badan seperti General Administration of Customs of the People’s Republic of China, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Australia Border Force, Maldives Customs Service dan Setiausaha Agung WCO.
Persidangan sedemikian juga diadakan sebanyak dua kali setahun dan sesi ke-27 akan diadakan sebelum hujung 2025.
Selain itu, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Negara Brunei Darussalam dalam kapasitinya selaku Pengerusi ASEAN akan menjadi hos kepada Mesyuarat ASEAN Director-Generals of Customs ke-34 pada 3 hingga 5 Jun nanti di Bandar Seri Begawan.


