Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 FEB – Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) berjaya mengadakan Majlis Penyerahan Kepengerusian, Mesyuarat ASEAN BAC ke-102, Mesyuarat Majlis Peniagaan Bersama (JBC) ke-24 dan Mesyuarat Majlis Perniagaan Asia Timur ke-62 yang berlangsung di Pulau Penang, Malaysia, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh ASEAN-BAC Brunei, di sini, siri mesyuarat berkenaan telah dihadiri lebih 100 delegasi peringkat tinggi yang menggariskan komitmen kolektif ASEAN untuk memacu integrasi dan kolaborasi ekonomi serantau.
Negara Brunei Darussalam telah diwakili oleh Pengerusi ASEAN-BAC Brunei, Awang Musa Adinin dan ahli baharu ASEAN-BAC Brunei, Haji Abdul Saman Ahmad di mana kedua-dua orang wakil memainkan peranan penting dalam mesyuarat-mesyuarat berkenaan dengan menyumbang pandangan berharga serta menyokong inisiatif-inisiatif utama bertujuan meningkatkan kolaborasi sektor swasta serta integrasi ekonomi serantau di seluruh ASEAN.
Di bawah kepengerusian ASEAN-BAC Malaysia 2025 yang membawa tema, Menyatupadukan Pasaran bagi Kemakmuran Bersama, perbincangan menumpukan pada pengukuhan integrasi ekonomi serantau, meningkatkan kesalinghubungan dan memajukan keutamaan untuk menjana Komuniti Ekonomi ASEAN yang lebih makmur serta bersatu padu.
Topik-topik utama termasuk mendalami pelaburan dan perdagangan serta menyokong matlamat meluas menyatupadukan pasaran untuk memastikan pertumbuhan saksama bagi kesemua negara anggota.
Semasa Mesyuarat ASEAN-BAC ke-102, Awang Musa Adinin mengongsi perkembangan Brunei termasuk Project Legacy Brunei dan inisiatif dan acara Borneo Economy akan datang, mengukuhkan iklim pelaburannya menerusi projek-projek seperti mengembangkan kemudahan tenaga diperbaharui, memajukan infrastruktur digital serta membangunkan tapak penyahtauliahan bagi struktur-struktur luar pesisir.
Inisiatif-inisiatif berkenaan mencerminkan peranan aktif Brunei dalam mempromosikan kerjasama ekonomi serantau berterusan dan selaras dengan matlamat meluas ASEAN bagi penyatupaduan pasaran dan kemakmuran ekonomi.
Haji Abdul Saman Ahmad juga mengongsi sentimen berkenaan, mengesahkan semula komitmen Brunei terhadap perniagaan ASEAN yang bersatu dan menekankan pentingnya penyelarasan usaha untuk memacu kolaborasi ekonomi bermakna di seluruh rantau berkenaan.
