Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 FEB – Delegasi Negara Brunei Darussalam telah menghadiri Mesyuarat ke-39 Ketua Pakar Unit Anti Pemerdagangan Orang ASEAN baru-baru ini di Pulau Pinang, Malaysia.
Delegasi Negara Brunei Darussalam telah dihadiri oleh pihak Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan wakil dari Bahagian Keselamatan dan Undang-undang di Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Mesyuarat menghimpunkan para pakar dan pegawai penguatkuasaan dari negara-negara ASEAN bagi memperkukuhkan lagi usaha menangani jenayah pemerdagangan orang, memperluaskan kerjasama rentas sempadan serta mengemaskinikan langkah pencegahan, penguatkuasaan dan perlindungan mangsa.
Dalam ancaman pemerdagangan manusia yang semakin kompleks, perbincangan strategik ini memainkan peranan penting untuk memperkukuh rangka kerja serantau, sejajar dengan komitmen ASEAN untuk membanteras jenayah ini secara menyeluruh dan berkesan.
Antara lain yang dikongsikan semasa mesyuarat itu termasuk mengenal pasti trend baharu yang muncul di dalam menangani jenayah eksploitasi pemerdagangan orang, modus operandi penjenayah dan strategi atau inisiatif terbaik yang boleh diambil bagi tindakan untuk memerangi pemerdagangan manusia di serantau ini.
