Monday, November 25, 2024
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Delegasi negara sertai misi perdagangan ke Kanada

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Delegasi Negara Brunei Darussalam dari Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri (JPM) bersama delegasi pengiring mengambil bahagian dalam misi perdagangan ke Kanada bermula 12 hingga 20 November.

    Dalam kenyataan bersama Jabatan Tenaga di JPM dan Suruhanjaya Tinggi Kanada yang dikeluarkan di sini, misi perdagangan yang dihoskan oleh Suruhan-jaya Tinggi Kanada di Negara Brunei Darussalam bertujuan untuk menubuhkan hubungan dengan para pemimpin perniagaan utama menumpukan kepada peralihan tenaga, tenaga bersih dan sektor-sektor baru muncul yang lain.

    Matlamat utama misi berkenaan adalah untuk mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan yang telah dikenal pasti lebih awal mengenai kerjasama berpotensi dalam bidang tenaga bersih, teknologi boleh diperbaharui serta penyelesaian transformatif.

    Di samping itu, delegasi Brunei juga akan memperoleh pandangan mendalam mengenai kemajuan terkini dan amalan terbaik dalam sektor tenaga khususnya mengenai kecekapan tenaga dan pengurangan karbon.

    Misi itu menggariskan komitmen dan keutamaan Kanada serta Negara Brunei Darussalam untuk mempromosi sebuah masa depan mampan dan meningkatkan hubungan pelaburan dan perdagangan.

    Gambar ramai delegasi Negara Brunei Darussalam yang mengambil bahagian dalam misi perdagangan ke Kanada di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. – GAMBAR SERAHAN JABATAN TENAGA

    Penglibatan Brunei dalam misi perdagangan berkenaan akan mengetengahkan usahanya untuk mengemudi peralihan tenaga global dan memajukan inisiatif-inisiatif kemapanan.

    Delegasi Brunei merangkumi wakil-wakil dari Jabatan Tenaga di JPM, Pejabat Perubahan Iklim Brunei di JPM, Bahagian Pelaburan di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Universiti Brunei Darussalam, Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei, Pihak Berkuasa Kebangsaan bagi Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA), Autoriti Petroleum Brunei Darussalam, Syarikat Tenaga Berakas (BPC), Brunei LNG Sdn Bhd, Serikandi Oilfield Services Sdn Bhd dan CIC Environmental Services Sdn Bhd.

    Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Ambra Dickie berkata pihaknya amat gembira untuk menghoskan misi perdagangan dari Brunei ke Kanada yang julung-julung kali diadakan.

    Lawatan itu, tambahnya, menumpukan kepada mendalamkan lagi kerjasama Brunei dan Kanada dalam menyokong penyelesaian mampan dan inovatif bagi transformasi tenaga.

    Sempena meraikan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Brunei-Kanada pada 2024, sokongan Kerjasama Strategik Kanada dengan ASEAN dan pelaksanaan Strategik Indo-Pasifik Kanada, PYT Ambra Dickie menyatakan pihak amat teruja untuk menyokong usaha kepelbagaian ekonomi dan kemapanan Brunei selaras dengan Wawasan 2035.

    Brunei dan Kanada bekerjasama dalam pelbagai forum pelbagai negara seperti APEC dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) di mana kedua-dua negara merupakan anggota kepada Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), yang mana Kanada merupakan pengerusi bagi 2024.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda