Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JUN – Sebagai usaha memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam mempertingkatkan pengurusan ibadat haji secara menyeluruh, Negara Brunei Darussalam telah menyertai Grand Hajj Symposium ke-49 di The Ritz-Carlton, Jeddah, Arab Saudi baru-baru ini.
Simposium tahunan anjuran Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi tersebut bertujuan menjadi platform perbincangan strategik dalam memperhalusi kaedah perlaksanaan ibadat haji yang lebih efisien, selamat dan sesuai dengan perkembangan teknologi masa kini selain menjadi wadah bagi negara-negara Islam berkongsi pengalaman serta menyelaras pendekatan terbaik dalam pengurusan jemaah haji.
Delegasi negara diketuai oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Turut serta ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Arab Saudi, Haji Harun bin Haji Junid serta pegawai-pegawai dari Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada Bahagian Pentadbiran dan Bahagian Perubatan.
Simposium berkenaan turut menghimpunkan seramai 500 peserta dari 59 buah negara, termasuk para menteri dan pembesar agama dari seluruh dunia.
Tema tahun ini, Kemampuan Dalam Perlaksanaan Ibadat Haji dan Pembangunan Kontemporari menekankan keperluan penyelarasan antara keupayaan fizikal jemaah dan pembangunan infrastruktur serta teknologi moden.
Dalam ucaptama oleh Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Yang Berhormat Dr Taufiq bin Fawzan Al-Rabiah menekankan tiga langkah utama bagi menjamin keselamatan dan keselesaan jemaah termasuk peraturan berada di khemah antara jam 10 pagi hingga 4 petang; penggunaan pengangkutan berlesen antara Arafah, Muzdalifah dan Mina serta saranan mengelakkan kawasan sesak seperti Masjid Namirah dan Jabal Rahmah.
Simposium berkenaan turut mengadakan sesi strategik dan bengkel khusus yang membincangkan peningkatan mutu perkhidmatan, kesihatan jemaah serta peranan media dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada umat Islam sedunia.
Kehadiran delegasi Brunei Darussalam ke simposium tersebut diharap dapat menyumbang kepada usaha meningkatkan persiapan dan pengurusan jemaah haji negara bagi musim 1446 Hijrah selaras dengan garis panduan dan inovasi terkini dari Kerajaan Arab Saudi.


