Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JULAI – Delegasi seramai 12 pelajar dan 3 guru Sekolah Menengah Perdana Wazir, Kuala Belait telah berlepas ke Singapura untuk melawat Sekolah Menengah Ang Mo Kio, Republik Singapura, bermula hari ini, 1 Julai hingga 5 Julai.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, menyatakan lawatan berkenaan diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Sekolah-sekolah dengan kumpulan pelajar yang dipilih oleh pihak sekolah atas sifat kepimpinan mereka.
Lawatan selama lima hari tersebut merupakan sebahagian daripada Program Sekolah Berkembar Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada delegasi hari ini, ialah Ketua Unit Pentadbiran, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Hajah Saliha binti POKMS Haji Md Tarif.
Turut hadir di lapangan terbang ialah pegawai-pegawai dari Jabatan Sekolah-Sekolah, wakil pentadbiran Sekolah Menengah Perdana Wazir, serta ibu bapa dan ahli keluarga para pelajar.
Program berkenaan bertujuan untuk mengeratkan hubungan dua hala antara sekolah dari kedua-dua negara melalui perkongsian amalan terbaik dalam bidang akademik, pedagogi serta pembangunan pelajar secara menyeluruh.
Antara aktiviti yang telah dirancang dalam lawatan nanti termasuk sesi pembelajaran bilik darjah bersama, program pengalaman sekolah, inisiatif kepimpinan pelajar, lawatan pendidikan berkaitan kelestarian di sekitar Singapura serta pengalaman budaya tempatan.
Lawatan berkenaan dijangka dapat memberi pendedahan yang bermakna kepada para pelajar mengenai sistem pendidikan antarabangsa dan memperkukuh semangat persahabatan, perpaduan serta nilai sejagat merentasi sempadan negara selain berpeluang mengetengahkan kebudayaan Brunei Darussalam melalui persembahan dan interaksi bersama pelajar-pelajar di Singapura.



