Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OGOS – Tujuh orang pelajar dan seorang guru pendamping yang menyertai program Pertukaran Rangkaian Pelajar dan Belia Jepun-Asia Timur (JENESYS) di Jepun telah selamat kembali ke tanah air, kelmarin.
Delegasi yang mengikuti program sembilan hari bermula 25 Julai lalu itu terdiri daripada pelajar-pelajar Tahun 9 dan 10 dari empat buah sekolah menengah kerajaan iaitu Awang Mohammad Luqman Al-Hakim bin Haji Abdul Mukti dari Sekolah Menengah Rimba 2, Dayang Nur Najibah Izzati binti Haji Ali Rahman dari Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab, Dayang Sofiyya Najihah binti Haji Abdul Aziz @ Azis dari Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna (SMPAPHM), dan Dayang Nuraliyah Afifah binti Zulkifli dari Sekolah Menengah Sayyidina Husain.
Turut serta ialah pelajar dari tiga buah sekolah menengah swasta yang diwakili oleh Awang Akid Ukail @ Ean Mikael bin Edi Farhan dari Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Dayang Nur Fathin Syuhaidah binti Syamsul dari Sekolah Menengah Seri Mulia Sarjana dan Ang Chin Gui dari Sekolah Menengah Chung Hwa.
Mengiringi delegasi pelajar sebagai guru pendamping ialah Dayang Jalilah binti Haji Jali dari SMPAPHM.
Penyertaan mereka dikelolakan oleh Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Sekolah-Sekolah dan Jabatan Pendidikan Swasta.
Majlis penutup sesi pelaporan telah diadakan pada 1 Ogos, di Tokyo yang dihadiri oleh wakil-wakil dari kedutaan negara-negara ASEAN dan Timor Leste. Turut hadir semasa majlis berkenaan ialah Setiausaha Pertama Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Jepun, Awang Amir bin Ismail.
Delegasi telah membentangkan perolehan daripada program tersebut dan mencadangkan pelan tindakan berkaitan yang akan dijalankan di negara masing-masing.
Turut hadir bagi mengalu-alukan ketibaan delegasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ialah pegawai-pegawai dari Jabatan Sekolah-sekolah dan Jabatan Pendidikan Swasta, Kementerian Pendidikan.