Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Kementerian Pertahanan
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Okt – Timbalan Setiausaha Tetap (Kewangan dan Pentadbiran) di Kementerian Pertahanan, Pengiran Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani, hari ini, menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Pengarah (Messaging and Engagement), Kementerian Perhubungan dan Penerangan, Republik Singapura, Shakera Stationwala serta delegasi di kementerian tersebut, di sini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, lawatan delegasi Singapura ke kementerian berkenaan memberi peluang kepada kedua-dua belah pihak untuk bertukar pandangan dan strategi komunikasi dengan tujuan untuk berkongsi amalan terbaik.
Menurut kenyataan itu lagi, selepas kunjungan hormat, delegasi mendengarkan taklimat mengenai Media SOP (Dasar dan Garis Panduan) Kementerian Pertahanan diikuti dengan sesi soal jawab.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/1-B-21p6-rubie_011117.jpg)
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/1-A-15p8-rubie_011117.jpg)
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/1-C-13p8-rubie_011117.jpg)
Mereka juga mendengarkan taklimat mengenai strategi media yang digunakan semasa menjalankan dua latihan signifikan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Latihan Bantuan Kemanusiaan dan Bencana dan Perubatan Tentera ADMM+ pada 2013 dan Eksesais Hikmat Bersatu V pada 2016.
Delegasi Singapura juga menerangkan cara-cara media yang digunakan untuk menyebarkan maklumat dan memberi jaminan kepada orang ramai semasa wabak Virus Zika. Selepas taklimat, delegasi mengambil peluang untuk melawat galeri di Muzium ABDB.
Lawatan delegasi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam itu adalah sebahagian daripada program pertukaran di bawah memorandum persefahaman antara Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura dalam bidang Maklumat dan Penyiaran.