Sunday, July 27, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Delegasi SR Keriam berlepas ke Singapura

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Delegasi Sekolah Rendah Keriam (SR Keriam), Tutong yang terdiri daripada 12 orang pelajar Tahun 4 dan Tahun 5 serta 3 orang guru sekolah berkenaan telah berlepas ke Singapura bagi menyertai Program Sekolah Berkembar ke Bukit Timah Primary School, Republik Singapura hari ini.

    Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Sekolah-sekolah menyelaras lawatan delegasi berkenaan selama lima hari yang bermula hari ini, 27 hingga 31 Julai yang mana ia merupakan sebahagian daripada Program Sekolah Berkembar Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.

    Sehubungan dengan itu, hadir Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada delegasi berkenaan ialah Pemangku Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan (Korporat), Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Dayang Hajah Sarifah binti Haji Matsawali.

    Turut hadir di lapangan terbang ialah pegawai-pegawai dari Jabatan Sekolah-sekolah, wakil pentadbiran Sekolah Rendah Keriam serta ibu bapa dan ahli keluarga para pelajar.

    Program itu bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan dua hala antara sekolah-sekolah dari Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura melalui perkongsian amalan terbaik dalam bidang akademik, pedagogi serta pembangunan pelajar secara menyeluruh.

    Pelbagai aktiviti dirancang sepanjang program berkenaan, termasuk sesi pembelajaran bersama di bilik darjah, program kepimpinan pelajar, pengalaman amali menerusi pelbagai pendekatan pembelajaran, lawatan ke tempat-tempat bersejarah dan lestari serta pertukaran budaya antara kedua-dua buah sekolah.

    Lawatan itu dijangka dapat memberi pendedahan yang bermakna kepada para pelajar mengenai sistem pendidikan antarabangsa dan memperkukuh semangat persahabatan, perpaduan serta nilai sejagat merentasi sempadan negara.

    Delegasi juga berpeluang mengetengahkan kebudayaan Brunei melalui persembahan dan interaksi bersama pelajar-pelajar di Singapura.

    Hajah Sarifah memberikan kata-kata nasihat kepada delegasi Sekolah Rendah Keriam, Tutong.
    Bacaan doa sebelum delegasi berlepas ke Singapura.
    Gambar ramai delegasi SR Keriam sebelum berlepas. – Gambar serahan Kementerian Pendidikan

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda