Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Delegasi SR Panaga lawat sekolah Singapura

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JULAI – Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Sekolah-sekolah hari ini telah menyelaras lawatan delegasi Sekolah Rendah (SR) Panaga, Seria yang terdiri daripada 12 orang pelajar Tahun 5 serta tiga orang guru sekolah berkenaan ke SR Pei Ying, Republik Singapura.

    Lawatan selama lima hari ini bermula dari 8 hingga 12 Julai adalah sebahagian daripada Program Sekolah Berkembar Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.

    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) bagi mengucapkan selamat belayar kepada delegasi ialah Pemangku Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan (Korporat) Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Hajah Sarifah binti Haji Matsawali.

    Program itu bertujuan mengeratkan hubungan dua hala antara sekolah-sekolah dari kedua-dua negara melalui perkongsian amalan terbaik dalam bidang akademik, pedagogi serta pembangunan pelajar secara menyeluruh. Antara aktiviti yang telah dirancang termasuk sesi pembelajaran bilik darjah bersama, program pengalaman sekolah, inisiatif kepimpinan pelajar, lawatan pendidikan ke tapak bersejarah sekitar Singapura serta pengalaman budaya tempatan.

    Lawatan itu dijangka memberi pendedahan yang bermakna kepada para pelajar mengenai sistem pendidikan antarabangsa dan memperkukuh semangat persahabatan, perpaduan serta nilai sejagat merentasi sempadan negara. Delegasi juga berpeluang mengetengahkan kebudayaan Brunei Darussalam melalui persembahan dan interaksi bersama pelajar-pelajar di Singapura.

    Turut hadir di LTAB ialah pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan dari Jabatan Sekolah-sekolah, wakil pentadbiran Sekolah Rendah Panaga serta ibu bapa dan ahli keluarga para pelajar.

    Delegasi Sekolah Rendah Panaga, Seria serta guru-guru sekolah berkenaan bergambar ramai sebelum berlepas ke Republik Singapura. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda