Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JULAI – Persatuan Usahawan Muda Brunei (YEAB) baru-baru ini menyertai Persidangan ASEAN 2025 yang berlangsung dari 1 hingga 4 Julai di Resorts World Sentosa, Singapura.
Persidangan yang dianjurkan oleh Singapore Business Federation (SBF) itu menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh kerjasama serantau serta menyokong inisiatif mempelbagaikan ekonomi Negara Brunei Darussalam.
Delegasi YEAB diketuai oleh Presiden Goh Chai Li, bersama ahli penuh iaitu Albert Shim, Ayesha Salleh, Ahmad Fauzi, dan Louis Loo. Program empat hari itu merangkumi ASEANext Forum serta sesi utama persidangan bertemakan ASEAN Integration in a Multipolar World, yang menghimpunkan para pembuat dasar, pegawai kerajaan, pemimpin perniagaan dan wakil organisasi masyarakat sivil dari seluruh Asia Tenggara.
Persidangan telah dirasmikan oleh tetamu kehormat iaitu Timbalan Perdana Menteri Singapura, Tuan Yang Terutama Gan Kim Yong, merangkap Menteri Perdagangan dan Industri Singapura.
Antara penceramah terkemuka yang turut menyampaikan ucapan ialah Pengerusi SBF, S.S. Teo; Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif UOB, Wee Ee Cheong; Ketua Pegawai Eksekutif SBF, Kok Ping Soon; Pengerusi ASEAN-BAC 2025 dan Chia Kim Huat, Ketua Serantau, Amalan Korporat dan Transaksi, Rajah & Tann Singapore LLP, Tan Sri Nazir Razak.
YEAB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan strategik jangka panjangnya, Young Business Leaders Network (YBLN) Singapura, atas kerjasama erat dalam merealisasikan penyertaan ini.
Turut disampaikan ialah penghargaan tulus kepada semua delegasi antarabangsa serta organisasi ASEAN atas sambutan mesra dan perkongsian ilmu yang membina sepanjang program.
Dalam perkembangan lain, YEAB turut memaklumkan bahawa pihaknya akan menghadiri ASEAN Young Entrepreneurs Carnival yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia pada Oktober nanti.