Delta Air Lines catat kerugian besar

NEW YORK, 15 JAN – Delta Air Lines melaporkan kerugian besar untuk tahun 2020 kelmarin berikutan kesan buruk akibat koronavirus pada perjalanan udara, tetapi mengatakan ia menjangkakan akan kembali meraih keuntungan akhir tahun ini.

Dengan perjalanan udara kini berdepan sekatan akibat krisis COVID-19 dan lebih banyak sekatan dikenakan untuk mengatasi wabak tersebut, Delta telah mencatatkan kerugian sebanyak AS$12.4 bilion untuk sepanjang tahun 2020, tahun pertama kemelesetan sejak 2009 dan penurunan besar daripada keuntungan rekod pada tahun 2019.

Delta juga melaporkan kerugian suku tahunan untuk tempoh yang berakhir pada 31 Disember, membatasi apa yang disebut oleh Ketua Eksekutif Ed Bastian sebagai ‘tahun paling sukar dalam sejarah Delta.’

Tetapi saham syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS) meningkat pada tahap kukuh kelmarin tatkala Bastian mengunjurkan kembali keuntungan pada akhir tahun ini selepas pengeluaran vaksin.

“Walaupun cabaran kami berlanjutan pada tahun 2021, saya optimis ini akan menjadi tahun pemulihan dan titik perubahan yang menjadikan Delta lebih kukuh dan kembali meraih pendapatan seperti sebelum ini,” kata Bastian dalam satu kenyataan.

Syarikat penerbangan telah memberhentikan puluhan ribu pekerjaan dan menggantung pesawat daripada perkhidmatan dalam usaha untuk mengurangkan kos selama kemerosotan yang berpanjangan.

Delta telah mengelakkan pemberhentian kerja secara sukarela, tetapi telah menyaksikan 40,000 pekerja meninggalkan syarikat dengan cuti secara sukarela. Syarikat itu juga telah membuat perjanjian dengan kesatuan pekerja untuk mengurangkan waktu bekerja bagi mengelakkan pemberhentian pekerja.

Beban bagi kakitangan syarikat penerbangan AS telah dikurangkan oleh pakej sokongan gaji persekutuan yang besar untuk mengekalkan juruterbang, pramugari dan pekerja lain. – AFP

Gambar fail pada 20 Ogos 2020 menunjukkan sebuah pesawat Delta mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles, California. – AFP