Friday, March 14, 2025
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Delta ancam kejayaan virus China

    BEIJING, 30 JULAI – Satu kluster koronavirus yang muncul di bandar Nanjing, China kini merebak ke lima wilayah dan Beijing, memaksa perintah berkurung ke atas ratusan ribu penduduk ketika pihak berkuasa bergelut menangani wabak terburuk dalam masa berbulan-bulan.

    China sebelum ini berbangga dengan kejayaannya bebas daripada pandemik di sempadannya selepas melaksanakan perintah berkurung pertama virus dunia pada awal tahun 2020 ketika COVID-19 merebak keluar dari Wuhan, pusat wabak negara itu.

    Namun satu penularan dalam bulan ini akibat varian Delta menjejaskan rekod itu sejak ia merebak di lapangan terbang Nanjing di wilayah timur Jiangsu.

    Bandar itu melaporkan sejumlah 184 kes koronavirus tempatan hari ini, selepas sembilan orang pembersih di Lapangan Terbang Antarabangsa Nanjing Lukou diuji positif pada 20 Julai lalu.

    Sekurang-kurangnya 206 jangkitan di seluruh negara dikaitkan dengan kluster Nanjing yang disahkan pegawai sebagai jangkitan mudah menular varian Delta.

    “Para pembersih ini didapati melakukan pembersihan dalam kabin pesawat CA910 dari Rusia pada 10 Julai,” kata pegawai kesihatan Nanjing, Ding Jie. Beratus-ratus ribu orang sudah pun dikenakan perintah berkurung di wilayah Jiangsu, yang mana Nanjing adalah ibu kotanya, manakala sejumlah 9.2 juta penduduknya sudah pun diuji dua kali.

    Di Daerah Changping, Beijing di mana dua kes jangkitan dikesan, seramai 41,000 orang dalam sembilan komuniti perumahan dikenakan perintah berkurung kelmarin, menurut pegawai perbandaran. Jangkitan merupakan kes tempatan pertama dilaporkan di ibu negara itu dalam masa enam bulan.

    Secara geografi, penularan adalah yang terbesar dalam beberapa bulan, mencabar usaha pengekangan agresif China yang kebanyakannya bergantung kepada ujian besar-besaran, perintah berkurung dan pengesanan kontak pantas. – AFP

    Gambar diambil pada 28 Julai menunjukkan seorang kakitangan menyembur disinfektan pada makmal sementara Fire Eye digunakan untuk ujian koronavirus di pusat pameran Nanjing, di wilayah Jiangsu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda