BEIJING, 29 JULAI – China hari ini melaporkan penularan wabak COVID-19 membabitkan varian Delta di tiga wilayah yang berpunca daripada kluster di lapangan terbang di timur, walaupun ujian besar-besaran dan kempen imunisasi sudah dilaksanakan.
Penularannya bermula selepas sembilan pekerja di lapangan terbang Nanjing disahkan positif pada 20 Julai lalu, dan sejak itu menyaksikan 171 kes dikesan di wilayah Jiangsu, sementara jangkitan turut merebak ke sekitar empat wilayah lain.
Secara geografi, ia adalah penularan terbesar selama beberapa bulan, yang menggugat usaha pembendungan agresif China yang bergantung kepada ujian calitan besar-besaran, sekatan pergerakan dan pengesanan kontak rapat.
Anggota pasukan petugas pencegahan wabak, Lu Jing memberitahu pemberita hari ini, pegawai di Jiangsu melaksanakan langkah perintah berkurung terhadap ratusan ribu penduduk.
“Kafe internet, gimnasium, pawagam, kelab karaoke dan perpustakaan di Nanjing sudah ditutup,” katanya.

Beliau berkata bandar itu sudah menjalankan ujian terhadap semua 9.2 juta penduduk sebanyak dua kali, sambil menambah, varian Delta mudah berjangkit itu menimbulkan cabaran bagi usaha pembendungan.
Wilayah barat daya Sichuan melaporkan tiga kes baharu hari ini, sementara Beijing melaporkan satu kes penularan tempatan, yang pertama dalam tempoh enam bulan.
Pesakit Beijing itu yang merupakan sepasang suami isteri didapati positif COVID-19 selepas melawat Zhangjiajie, di wilayah Hunan, kata suruhanjaya kesihatan perbandaran Beijing.
Pasangan itu dilaporkan telah menggunakan perkhidmatan kereta api bawah tanah sebaik tiba di Beijing kelmarin.
Pihak berkuasa sudah mengesan 654 kontak rapat kepada dua kes terbabit yang kini diletakkan dalam pemerhatian perubatan. – AFP/Bernama