ATLANTA, 26 JAN – Delta Air Lines merancang untuk memanggil semula 400 juruterbang untuk melakukan tugasan pada musim panas ini sebagai tanda bahawa ia mengharapkan perjalanan kembali meningkat pada musim percutian ketika krisis koronavirus mulai reda.
Naib presiden kanan operasi penerbangan syarikat itu, John Laughter, berkata dalam memo bahawa syarikat penerbangan itu memanggil semula juruterbang untuk kembali memulakan tugas, jauh lebih awal daripada yang dirancang sebelumnya.
Sejak Mac tahun lalu, seramai 400 juruterbang dibayar dengan wang pembayar cukai yang diterima oleh Delta sebagai sebahagian daripada bantuan persekutuan tambahan AS$15 bilion kepada industri penerbangan.
Delta pada mulanya merancang untuk memberikan cuti daripada bertugas kepada 1,700 juruterbang, tetapi membatalkannya selepas kesatuan pekerja mencapai kesepakatan perjanjian termasuk pengurangan gaji dan penerbangan aktif.
Jurucakap Kesatuan, Chris Riggins berkata, Persatuan Juruterbang Air Lines didorong oleh keputusan Delta.
Trafik penumpang AS pada Januari menurun 61 peratus dari tahun lalu. Delta dan United meramalkan permintaan perjalanan yang lemah hingga Mac, tetapi pegawai industri mengharapkan peningkatan memandangkan semakin banyak orang telah menerima vaksin COVID-19.
Saham Delta turun 2 peratus tatkala saham syarikat penerbangan lain jatuh lebih banyak pada perdagangan petang ketika negara mengetatkan sekatan perjalanan untuk mengekang penularan varian COVID-19 baharu. – AP
