Monday, February 24, 2025
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    DEMA 2017 sambut baik tapak selaman Malaysia

    LABUAN, 8 Nov – Pembentangan tentang tapak selaman di Malaysia pada platform pelancongan diiktiraf dunia Pameran Diving Equipment & Marketing Association (DEMA) 2017 di Orlando, Florida, Amerika Syarikat baru-baru ini menerima sambutan baik daripada pemain industri selaman antarabangsa.

    Acara empat hari yang bermula 1 Nov lepas itu membabitkan peserta dari seluruh dunia, menyaksikan sekurang-kurangnya lima buah tapak selaman popular di Malaysia dipromosikan oleh jurugambar dasar laut antarabangsa Rudy Whitworth.

    Pembentangan beliau bertajuk ‘Lima Lokasi Selaman Semakin Popular di Malaysia’ yang memaparkan gambar dan kisah tapak selaman di Tioman, Kuching, Miri, Labuan dan Layang Layang, mendapat sambutan baik dan komen positif daripada para peserta.

    “Seorang peserta dari Martinique (sebuah pulau di Caribbean) menyatakan gambar dan kisah yang saya ceritakan membuatkan beliau ingin ke Malaysia untuk melihat sendiri semua keindahan yang ditonton pada skrin, malah beliau turut bertanya tentang urusan perjalanan dan kos,” kata Whitworth kepada Bernama menerusi e-mel.

    Mempunyai pengalaman melakukan 39 selaman di seluruh dunia, beliau kini bekerjasama dengan Tourism Malaysia untuk mempromosikan tapak selaman popular Malaysia, khususnya pada DEMA Orlando, satu-satunya acara perdagangan antarabangsa bagi industri selaman, sukan air dan pelancongan.

    Berhubung kira-kira 300 gambar spesies marin yang dibentangkan termasuk jerung kepala tukul atau hammerhead, tuna, ikan alu-alu atau barracuda, siput tanpa cengkerang ‘nudibranch’ dan sotong katak yang sedang mengawan, beliau memaparkan nama setiap hidupan marin itu pada skrin, membuatkan audien terpesona dan berminat untuk berkunjung ke Malaysia. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda