Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Demam bitcoin melanda pasaran hartanah AS

    MIAMI, 14 Jan – Demam Bitcoin telah melanda pasaran hartanah AS, terutamanya di Florida, menawarkan pelabur asing satu cara untuk mengelak kawalan wang maya di negara sendiri serta sekatan ekonomi AS.

    Pada akhir tahun lalu, mata wang digital itu telah disenarai sebagai satu cara untuk membayar kira-kira 75 harta untuk dijual, terutamanya di selatan Florida dan California, menurut firma hartanah Redfin.

    “Bitcoin diterima” adalah bentuk pesanan yang kini dilihat dalam deskripsi rumah untuk dijual di kawasan Miami.

    Malah seorang penjual melakukan lebih daripada itu, berkata beliau hanya akan menerima bitcoin (33 pada keseluruhannya) untuk kondominium beliau berharga setengah juta dolar di pusat bandar di metropolis Florida.

    Bitcoin mengalami turun naik sejak kebelakangan ini, meningkat kepada hampir $20,000 sekeping pada pertengahan Disember dan seterusnya merosot mendadak pada Krismas. Ia memulakan tahun ini pada harga kira-kira $14,000.

    Penggunaannya dalam urus niaga hartanah adalah sesuatu yang baru, dan ejen berasa was-was disebabkan keadaannya yang tidak stabil.

    “Saya akan berasa terkejut jika dalam setahun mulai sekarang kami melihat sejumlah besar urus niaga hartanah dalam bentuk bitcoin,” kata Jay parker, CEO Florida untuk agensi pembrokeran Douglas Elliman.

    Namun, urus niaga sedemikian boleh jadi berguna untuk warga asing yang mahu melabur di Amerika Syarikat dan sebaliknya tidak dapat berbuat demikian, kata ahli ekonomi dan pakar bitcoin Charles Evans daripada Universiti Barry.

    “Ini nampaknya didorong oleh pelabur antarabangsa yang sedang memintasi perbankan yang tidak efisien dan kawalan mata wang di dalam negara, dan oleh penggemar mata wang kripto AS,” beritahu Evans kepada AFP.

    “Kerajaan di negara berkenaan mengehadkan jumlah wang yang dibenarkan kepada penduduk mereka untuk memindah wang ke luar negara menerusi sistem perbankan. Bitcoin membolehkan individu di sana melangkau sekatan sedemikian,” tambah beliau.

    Ia mungkin menarik pelabur, yang walaupun sebelum kepopularan bitcoin telahpun diterima di pasaran harta tanah di selatan Florida. Hampir separuh daripada kesemua pembeli asing harta di selatan Florida adalah dari Latin Amerika. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda