Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Musim durian tahun ini pasti lebih meriah dengan kemunculan semula raja buah selepas terjejas akibat penularan wabak COVID-19.
Namun, sambutan raja buah daripada pelbagai jenis kini berada di Negara Brunei Darussalam yang dibawa masuk khas dari Sabah, Malaysia.
Setelah melalui beberapa prosedur keselamatan untuk membawa masuk durian-durian berkenaanyangtelah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa, jualan buah-buahan itu yang tertumpu di Pasar Pelbagai Barangan Gadong mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.
Antara durian yang dibawa masuk adalah seperti Durian Kuning, Durian Kampung, Durian Tembaga, Durian Teka dan Durian Musang King.
Antara yang mendapat sambutan dalam kalangan penduduk di negara ini ialah Durian Kuning dan Durian Musang King kerana memiliki keunikannya yang tersendiri.
“Musang King rasanya sungguh istimewa dan sukar untuk dijelaskan. Ia merupakan antara jenis durian paling menjadi sebutan,” ujar Dayang Mimi binti Abdul Hamid, salah seorang penjaja buah durian.