YOKOHAMA, JEPUN – Berpakaian dan bersedia untuk bertempur, kira-kira 10,000 peminat Pokemon telah turun ke Yokohama di Jepun hujung minggu ini, mencari keseronokan tetapi juga kad pengumpul yang berpotensi bernilai tinggi.
Sejak pelancaran kad Pokemon pada tahun 1996 berikutan permainan komputer terkenal dengan nama yang sama – yang bermaksud ‘raksasa poket’ – 53 bilion kad yang mengagumkan telah dicetak.
Hampir 30 tahun berlalu, permainan kad ini kekal amat popular ketika para peserta saling bersaing dengan kad yang mewakili raksasa dan sifat-sifat yang berbeza.
Kejohanan Dunia Pokemon, yang diadakan pada hujung minggu ini di Jepun buat pertama kalinya, akan menyaksikan pemain terbaik dunia bagi video dan permainan kad itu bersaing untuk mendapatkan hadiah wang tunai pada acara yang dihadiri ribuan orang.
“Saya telah bermain sejak saya masih kecil,” beritahu Ajay Sridhar, 33, yang mengadakan perjalanan dari New York untuk hadir dengan kadnya, kepada AFP ketika menjelaskan mengapa dia ketagih dengan Pokemon.








“Ia hanya persaingan, ia adalah komuniti… Ramai kawan lama saya yang saya temui melalui Pokemon,” katanya.
Ia seperti catur, di mana jika awda tidak bermain catur dan awda menyaksikan perlawanan catur peringkat tinggi, awda tidak akan tahu apa yang berlaku,” kata Gilbert McLaughlin, 27, dari Scotland.
“Tetapi apabila awda mencapai tahap kemahiran tertentu, terdapat banyak perkara yang kompleks.”
Semua ketagih
Daripada tetikus Pikachu kepada belon Jigglypuff hingga Lucario berkepala serigala, kini terdapat lebih 1,000 watak Pokemon yang berbeza, dengan ‘generasi’ baharu dikeluarkan setiap beberapa tahun.
Walaupun sentiasa ditukar dan dikumpul, nilai kad itu telah meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bukan sahaja dalam kalangan peminat permainan tetapi juga dalam kalangan pelabur dengan sedikit atau tiada minat sebelumnya.
Faktor yang menentukan nilai termasuk keunikan kad, watak (Mew, Mewtwo, Pikachu dan Charizard biasanya lebih berharga) dan artis, yang ditunjukkan pada kad.
Laman web telah muncul khusus untuk membantu orang memahami pelbagai susunan kad yang berbeza dan pelbagai tandanya, lengkap dengan carta yang menunjukkan nilainya dari semasa ke semasa.
Yang paling mahal pernah dijual adalah pada 2021 apabila YouTuber Amerika Syarikat, Logan Paul membayar – di bilik hotel Dubai kepada penjual ‘misteri’ – AS$5.28 juta untuk ‘PSA Gred 10 Pikachu’ yang kononnya unik dan sempurna.
Pada tahun berikutnya, Logan, 28, menggantung kad itu – di dalam bekas plastik pelindung yang dipasang pada rantai emas – di lehernya pada acara gusti WWE di Texas.
Pergaduhan
Hiroshi Goto ialah pakar dalam kad Pokemon yang telah menulis buku dengan nasihat tentang cara menjana wang daripadanya.
Dia berkata bahawa apabila dia menjalankan kedai menjual kad itu pada tahun 2000an, pelanggannya kebanyakannya ‘kanak-kanak sekolah dengan bapa mereka mengambil bahagian dalam kejohanan bersama-sama.’
Tetapi sejak ulang tahun ke-20 pada 2016, ‘persepsi kad berkembang menjadi bukan sahaja mainan untuk kanak-kanak tetapi juga barangan yang dihargai oleh orang dewasa, barangan pengumpul dengan nilai yang tinggi.’
Permintaan adalah amat popular sehingga syarikat Pokemon terpaksa meningkatkan pengeluaran.
Di Jepun dan Amerika Syarikat, berlakunya insiden pergaduhan fizikal, termasuk satu di luar sebuah kedai di bandar Osaka, Jepun pada bulan Julai yang tular di media sosial.
Terdapat kes kedai menjual kad Pokemon dipecah masuk di Jepun yang biasanya mempunyai kadar jenayah rendah sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Ledakan emas juga telah mencetuskan ledakan dalam kad palsu.
Paul, misalnya, membayar AS$3.75 juta pada 2021 untuk kotak pek penggalak edisi pertama yang ‘tertutup & disahkan’ yang ternyata mengandungi kad ‘G.I. Joe’, menurut salah satu videonya.
Tawar-menawar
Di luar Yokohama, pengumpul sibuk bertukar dan menjual kad mereka, termasuk Jeffrey Ng, yang gembira selepas membeli 10 kad dengan harga AS$1,700. Dia kini berharap untuk menjualnya untuk mendapatkan keuntungan.
“Konvensyen seperti ini adalah tempat yang baik untuk bertemu pengumpul lain,” beritahunya kepada AFP.
Semua kad dicipta dan direka dengan teliti di tempat yang sama, pejabat Tokyo Creatures Inc, yang bersama-sama dengan Nintendo dan Game Freak memiliki syarikat Pokemon.
Eksekutif Creatures, Atsushi Nagashima berkata walaupun firma itu ‘sangat gembira’ tentang kejayaan kad itu, “ia tidak mengubah cara kami melakukan tugas kami.”
Creatures menggaji 18 penguji yang menghabiskan hari bekerja mereka bermain Pokemon untuk memastikan kad baharu sesuai dengan sebilangan besar kad sedia ada.
“(Tetapi) kami tidak pernah mengupah orang dari pertandingan,” kata Kohei Kobayashi, seorang lagi pengurus di Creatures. “Kami mahu meninggalkan pemain yang bagus di mana mereka berada, di sana di mana mereka bersinar.” – AFP

