BIRMINGHAM, 16 APRIL – Ousmane Dembele dari Paris Saint-Germain berkata pasukannya perlu belajar untuk tidak putus asa dalam perlawanan besar selepas hampir tumbang menentang Aston Villa pada suku akhir Liga Juara-Juara kelmarin.
Dia juga menyeru rakan sepasukannya untuk mengelak daripada melakukan kesilapan yang sama dalam empat perlawanan terakhir.
“Awda perlu berusaha lebih terutamanya dalam perlawanan seperti ini. Kami menyusahkan diri sendiri dengan Aston Villa meletakkan kami di bawah banyak tekanan,” kata Dembele kepada media Canal Plus selepas tewas 3-2 dalam perlawanan kedua, tetapi mara ke separuh akhir dengan agregat 5-4.
“Mereka juga mempunyai pemain yang bagus tetapi saya fikir kami menyukarkan kehidupan kami sendiri, terutamanya pada separuh masa kedua di mana kami gagal sepenuhnya.”
Juara Perancis itu bertandang ke England dengan kedudukan 3-1 dari perlawanan pertama minggu lalu di Paris tetapi nampaknya mereka telah berputus asa apabila bolos 2-0 dalam setengah jam pembukaan.
Achraf Hakimi dan Nuno Mendes kedua-duanya menjaringkan gol untuk pelawat di Villa Park, tetapi percubaan Youri Tielemans yang terpesong memberi harapan kepada tuan rumah sebelum separuh masa.
Tedahulu, John McGinn dan Ezri Konsa kedua-duanya menjaringkan gol dalam masa tiga minit awal pada separuh masa kedua, meninggalkan PSG untuk bertahan apabila kedudukan seri.
“Kami fikir kami sepatutnya lebih baik,” akui Dembele.
“Pada kedudukan 2-1 kami fikir kami sudah layak, bahawa perlawanan telah berakhir. Tetapi inilah Liga Juara-Juara.
“Awda akan menentang pasukan yang terutamanya apabila di tempat sendiri dengan penonton yang hebat seperti itu, yang boleh mengubah permainan. Jadi kami perlu lebih berusaha keras di separuh akhir.”
Separuh akhir nanti, PSG akan berdepan pemenang antara Arsenal dan Real Madrid.
“(Pengalaman) ini akan sangat membantu kami, terutamanya ia mengajar kami untuk tidak berhenti berusaha, untuk terus bermain kedua-dua perlawanan sehingga tamat,” tegas bintang Perancis, Dembele.
“Kami gembira telah melepasinya tetapi sekarang kami perlu kembali bekerja kerana untuk memenangi trofi ini awda perlu benar-benar berusaha.”
Dia bagaimanapun mengakui bahawa terdapat, “banyak kegembiraan di bilik persalinan” pada penghujung permainan, kerana PSG kekal di landasan untuk memenangi Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam sejarah mereka.
“Untuk PSG berada di separuh akhir adalah baik untuk kelab dan untuk keseluruhan liga (Perancis), dan kami akan cuba melakukan yang terbaik untuk ke final.” – AFP
