PARIS, 13 JAN – Ousmane Dembele menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama ketika Paris Saint-Germain (PSG) menewaskan Saint-Etienne 2-1, kelmarin untuk mendahului tujuh mata di puncak carta Ligue 1 pada pertengahan musim ini.
Dembele membuka jaringan pada minit ke-13 dan seterusnya menjaringkan penalti pada pertengahan babak pertama ketika PSG mengancam untuk melakukan serangan balas.
Pasukan Saint-Etienne yang berada di zon penyingkiran play-off berusaha sedaya upaya mengawal keadaan dan berjaya mecetak gol menerusi sepakan percuma Zuriko Davitashvili pada minit ke-64. Bagaimanapun, PSG, yang memenangi Trofi Juara-juara Perancis hujung minggu lalu menentang Monaco di Doha, mampu bertahan dan telah memenangi 13 daripada 17 perlawanan liga domestik mereka musim ini.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Saint-Etienne kerana saya suka cara mereka bermain, tanpa rasa takut, menyerang dan memberikan tekanan kepada pasukan kami. Mereka menunjukkan aksi mantap,” kata jurulatih PSG, Luis Enrique.
“Sejak permulaan musim kami telah mencipta banyak peluang tetapi bergelut untuk menjaringkan gol, tetapi saya fikir malam ini kami bermain dengan cukup baik,” tambahnya. Pasukannya berada pada kedudukan terbaik untuk menuntut kejuaraan ke-11 dalam tempoh 13 tahun, dengan kemenangan di Parc des Princes itu adalah sebagai tindak balas terhadap pencabar terdekat Marseille yang menang 2-1 di tempat lawan di Rennes, Sabtu lalu. – AFP