Wednesday, May 7, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dembele sedia gempur Arsenal dalam separuh akhir Liga Juara-Juara

    PARIS, 6 MEI – Paris Saint-Germain (PSG) menerima suntikan semangat menjelang aksi separuh akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah menentang Arsenal apabila penyerang lincah, Ousmane Dembele, disahkan pulih daripada kecederaan dan bakal diturunkan dalam perlawanan esok.

    Ketua jurulatih PSG, Luis Enrique, mengesahkan bahawa Dembele yang menjaringkan gol tunggal kemenangan dalam aksi pertama di London minggu lalu telah kembali menjalani latihan bersama pasukan sejak dua hari lalu.

    “Saya boleh gunakan khidmatnya esok,” kata Enrique pada sidang media hari ini.

    Dembele mengalami sedikit kecederaan hamstring semasa aksi pertama dan tidak diturunkan ketika PSG tewas mengejut 1-2 kepada Strasbourg dalam saingan Ligue 1 hujung minggu lalu, di mana Enrique melakukan rombakan besar dengan tumpuan diberikan kepada aksi bertemu Gunners.

    Bintang Perancis itu kini mengumpul lapan gol dalam sembilan penampilan Liga Juara-Juara tahun ini, menjadikannya antara pemain paling berpengaruh PSG di pentas Eropah musim ini.

    Reaksi Ousmane Dembele meraikan kejayaan semasa perlawanan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara antara Arsenal dan PSG di Stadium Emirates di London, England pada 29 April lalu. – AP

    Pemain pertahanan PSG, Achraf Hakimi berkata, dia percaya Dembele telah pulih dengan baik.

    “Dia benar-benar mahu bermain. Dembele pemain yang luar biasa jenis yang buat awda mahu ke stadium hanya untuk menyaksikannya. Dia mampu ubah rentak permainan bila-bila masa. Kami sangat gembira dia kembali,” ujar Hakimi.

    Mengikut statistik UEFA, PSG memenangi 18 daripada 19 perlawanan timbal balik selepas menang aksi pertama di tempat lawan. Arsenal pula gagal bangkit dalam lima percubaan sebelum ini apabila tewas aksi pertama di gelanggang sendiri dalam kejohanan Eropah.

    Namun Enrique tidak mengira sejarah menjelang perlawanan di Parc des Princes.

    “Kami pasti menderita kerana lawan kami tidak mendapat keputusan yang

    memberangsangkan,” kata Enrique kepada pemberita. “Kami perlu memadankan prestasi kami sebaik mungkin pada perlawanan pertama untuk memenangi perlawanan kedua dan kekal dengan idea kami.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda