Demensia boleh jejaskan semua peringkat umur

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 SEPT – Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Alzheimer’s Disease International juga tidak ketinggalan memperingati Bulan Alzheimer Sedunia yang disambut pada bulan September dan Hari Alzheimer Sedunia pada 21 September.

Sehubungan dengan itu, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar (gambar) dalam perutusannya sempena Bulan Alzheimer Sedunia dan Sambutan Hari Alzheimer Sedunia turut mengetengahkan beberapa mesej utama dan menyeru semua termasuk ahli keluarga, komuniti dan masyarakat agar mengetahui dan membincangkan tanda-tanda amaran demensia, simptomnya dan mengongsikan pengalaman masing-masing.

Tema tahun ini Kenali Demensia, Kenali Alzheimer memfokuskan pada meningkatkan pengetahuan, tanda-tanda amaran demensia dan kepentingan mendapatkan diagnosis tepat pada masanya. Orang ramai disarankan untuk mendapatkan maklumat, nasihat dan sokongan tentang demensia, serta mendapatkan diagnosis seawalnya, agar dapat mempersiapkan, merancang dan menyesuaikan diri dengan demensia.

Sementara itu, hashtag rasmi iaitu #KnowDementia dan #KnowAlzheimers menyeru orang ramai untuk bersuara dan menyokong kempen kesedaran global ini. Oleh itu, adalah penting untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai demensia dan menghilangkan salah tanggapan terhadap penyakit ini.

Di samping itu Yang Berhormat Dato juga mengongsikan 10 tanda-tanda amaran demensia yang dialami adalah hilang ingatan; kesukaran melakukan tugas yang biasa; masalah percakapan; disorientasi atau kebingungan pada masa dan tempat; penilaian yang tidak betul atau menurun; masalah mengawasi sesuatu; sering kehilangan barang; perubahan mood dan tingkah laku; masalah melihat gambar dan hubungan sekeliling (spatial relationships); dan menjauhkan diri daripada pekerjaan atau aktiviti sosial.

Seorang lelaki melihat arca otak pada pameran kesenian Projek Otak di Toronto, Kanada pada 21 Julai. Pameran itu bagi meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan otak dan membiayai penyelidikan Alzheimer dan demensia. – Xinhua

Yang Berhormat Dato mengongsikan beberapa tip kepada golongan yang menghidap demensia dan penjaga mereka agar tidak dikecualikan secara sosial semasa penularan wabak ini.

Antara tip yang dikongsikan ialah dengan mengekalkan berhubung dengan menggunakan teknologi seperti bercakap melalui telefon atau panggilan video; mengekalkan aktiviti harian biasa sebanyak mungkin, dengan mengambil kira langkah-langkah pencegahan sosial dan jangkitan; mengingatkan atau bantu langkah-langkah kebersihan pencegahan COVID-19 seperti memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan; dan mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 dengan segera jika belum mendapatkannya.

Demensia bukan penyakit khusus mengikut umur dan boleh menjejaskan semua peringkat umur. Demensia juga bukan sebahagian daripada proses penuaan yang normal. Individu yang hidup dengan demensia mengalami gejala yang berbeza, bergantung pada bahagian otak yang terjejas.

Walau bagaimanapun, gejala demensia yang sering dihidapi adalah termasuklah hilang ingatan; kesukaran dalam berkomunikasi, seperti kesukaran mencari perkataan yang tepat atau memahami perbualan; kesukaran dalam melaksanakan tugas; dan perubahan keperibadian atau mood.

Pada masa ini, tidak ada ubat yang khusus untuk demensia, namun rawatan dan sokongan ada tersedia untuk pesakit dan penjaga. Seseorang yang mempunyai kemungkinan tanda dan gejala demensia harus dinilai oleh pakar penjagaan kesihatan untuk diagnosis dan pengurusan.

Risiko menghidap demensia meningkat apabila seseorang individu tidak mengekalkan gaya hidup yang sihat sejak dari usia muda lagi.