Pelakon Son Ye Jin memuji kebolehan teknik fotografi milik suaminya iaitu aktor Hyun Bin yang dilihat semakin baik ketika membidik gambarnya.
Disebabkan pujian itu, pelakon drama Crash Landing On You tersebut turut memuat naik beberapa fotonya ketika melakukan aktiviti bermain golf bersama Hyun Bin kerana menyukai semua gambar yang diambil.
Malah Ye Jin sempat berseloroh bertanya adakah dia semakin cantik atau kemahiran Hyun Bin merakamkan foto yang membuatkan dia nampak lebih jelita.
“Adakah saya semakin cantik? atau kemahiran fotografi suami saya semakin baik,” katanya.
Warganet bersetuju bahawa kemahiran fotografi Hyun Bin yang semakin baik apatah lagi bayang aktor itu yang sedang membongkokkan kaki untuk mengambil gambar kelihatan di sebalik kaca mata dipakai aktres itu. “Refleksi pada kaca mata Ye Jin membuktikan kemahiran fotografi Hyun Bin bertambah baik.

“Foto terakhir kelihatan Hyun Bin sampai terkangkang demi mendapatkan posisi terbaik untuk foto isterinya,” tulis warganet.
Sebelum ini, Ye Jin pernah memuat naik foto yang sama di padang golf dipercayai diambil oleh suaminya.
Namun, aktres berkenaan kelihatan tidak berpuas hati dengan hasil foto tersebut.
Untuk rekod, Son Ye Jin mendirikan rumah tangga bersama aktor Hyun Bin pada 31 Mac tahun lalu di sebuah majlis tertutup berikutan penularan COVID-19.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang kini berusia sembilan bulan. – Agensi