Ahad, 23 November 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Demi kesejahteraan rakyat Brunei

    Oleh Salawati Haji Yahya

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Julai – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan beberapa skim untuk menjamin kesejahteraan hidup rakyat dan penduduk di negara ini.

                   Dalam titahnya sempena Hari Keputeraan Baginda ke-77 tahun di Istana Nurul Iman kelmarin, Baginda telah memperkenan pelaksanaan Skim Persaraan Kebangsaan (SPK) pada 15 Julai dan skim gaji minimum dalam semua sektor secara berperingkat.

     

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan mengurniakan titah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-77 di Istana Nurul Iman, kelmarin. Berangkat sama, KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha. – Gambar Infofoto

     

                   Menyentuh mengenai SPK, Baginda bertitah, “Ini adalah bagi menggantikan Tabung Amanah Pekerja (TAP) dan Skim Persaraan Caruman Tambahan (SCP). SPK bukan sahaja bertujuan mengukuhkan kesejahteraan ahli semasa persaraan malahan ia juga akan memberikan pendapatan persaraan yang lebih baik.” 

                   Sehubungan itu, Baginda berharap semua pekerja dalam sektor formal dan tidak formal untuk sama-sama membuat caruman SPK.

          Baginda turut memberikan perbandingan bahawa dalam Skim TAP, manfaat sumbangan kewangan adalah dalam tempoh terhad sahaja sehingga ahli berumur 55 tahun kemudian tidak akan menerima apa-apa lagi manfaat. Manakala SCP pula hanya akan diterima selepas mencapai usia 60 tahun untuk 20 tahun sahaja.

          “Skim SPK ini, insya-Allah akan menjanjikan jaminan lebih kukuh di mana pesara akan menikmati pendapatan bulanan yang lebih baik malah akan menerimanya sepanjang hayat. 

          “Ini bermakna Skim SPK tidak diragukan adalah sama atau seakan-akan sama sahaja manfaatnya dengan skim berpencen dan inilah kelebihan Skim SPK,” tekan Baginda.

          Dalam pada itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut menggariskan pengenalan gaji minimum merentasi semua sektor industri bagi pekerja swasta secara berperingkat yang diselaraskan dengan amalan terbaik di peringkat serantau dan antarabangsa.

          Ke arah itu, Baginda ingin melihat semua pihak terutama sektor perniagaan menyokong inisiatif itu, kerana ia merupakan satu kemajuan ke arah mengukuhkan kehidupan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk.

          Baginda berharap pihak berkepentingan akan lebih aktif mengkaji dan meningkatkan tahap pencapaian masing-masing, selaras dengan pe-nanda aras antarabangsa.

          Ini termasuklah semua perkhidmatan kerajaan dan yang disediakan oleh sektor swasta seperti sumber bekalan elektrik dan air yang mana semua ini adalah asasi untuk kelangsungan hidup dan aktiviti perekonomian, tegas Baginda.

          Baginda Sultan turut menyentuh mengenai keadaan dunia yang sedang melalui pelbagai ketidaktentuan seperti ketegangan geopolitik, perubahan iklim dan kadar inflasi yang tinggi yang turut memberi kesan kepada negara ini. Inflasi umpamanya disebabkan kebergantungan negara kepada barangan import, kadar inflasi tahun ini adalah tinggi berbanding pada tahun sebelum penularan COVID.

          Walau bagaimanapun, melalui usaha bersama pelbagai agensi kerajaan, kita masih sahaja mampu menguruskan kadar inflasi di negara ini pada kadar rendah berbanding negara-negara lain di rantau ini, tekan Baginda. Dalam perkara ini, Baginda menyeru semua lapisan rakyat dan penduduk untuk terus memperkuat semangat dan keazaman dalam menghadapi situasi sukar ini dan sama-sama menggalas usaha serta memberanikan diri untuk melangkah lebih yakin ke hadapan. Mengenai sektor perniagaan, perdagangan dan pelaburan, Baginda menegaskan bahawa Brunei perlu bergerak lebih cepat dengan menggalakkan lebih banyak Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang berkualiti untuk mempelbagaikan ekonomi dan pada masa yang sama, menyediakan peluang pekerjaan serta spin off untuk perniagaan kecil dan sederhana tempatan.

          Baginda bertitah bahawa kerajaan telah pun menandatangani beberapa perjanjian dan memorandum persefahaman dengan beberapa buah negara untuk memperluaskan lagi peluang di beberapa sektor.

          Selain, Baginda turut berharap agar pihak berkenaan dapat memberikan penerangan secara berterusan kepada sektor perniagaan mahupun pihak yang berminat khususnya peniaga dan dewan-dewan perniagaan agar dapat mengetahui platform yang ada di peringkat dua hala serta pelbagai hala termasuklah seperti Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership (CPTPP), Regional Comprehensive Economic Partnersip (R-CEP) Agreement dan ASEAN FTA.

          “Semua pihak di sini perlu bekerjasama mengendalikan tadbir pertumbuhan ekonomi dan perniagaan berdaya tahan,” tekan Baginda.

          Dalam menyentuh mengenai isu pengangguran pula, Baginda bertitah bahawa kadar pengangguran pada masa ini adalah pada tahap terendah sejak 10 tahun lalu di mana pada penghujung 2022, kadar itu naik sedikit pada 5.2 peratus berbanding 4.9 peratus pada 2021.

          Baginda turut difahamkan bahawa pihak Manpower Planning and Employment Council (MPEC) akan terus bekerjasama rapat dengan sektor perniagaan untuk mengenal pasti pekerjaan yang bersesuaian bagi tenaga kerja tempatan dalam usaha untuk mengurangkan kadar pengangguran.

          Menyentuh mengenai perubahan iklim pula, Baginda menekankan mengenai Dasar Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam (BNCCP) yang menggariskan 10 strategi untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau selain membuka jalan bagi negara untuk berkarbon rendah dan climate-resilient.

          Negara Brunei telah mengurangkan pelepasan gas rumah hijau tahunan dan akan terus mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 20 peratus menjelang 2030.

          Baginda menegaskan, ini adalah selaras dengan komitmen di bawah Perjanjian Paris dan telah berjanji untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

          Di akhir titah, Baginda merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh rakyat dan penduduk atas sumbangan dan sokongan kepada kerajaan serta semua yang menjayakan sambutan perayaan ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda