FARWA – Dibungkus dalam beg putih dan dibawa oleh sukarelawan, lapan ekor rusa rhim muda, spesies terancam yang berasal dari Afrika Utara telah dipindahkan ke pulau Libya yang tidak berpenghuni.
Pencinta alam sekitar berharap rumah baharu haiwan itu di pulau Farwa, dekat Tunisia, akan menjadi tempat perlindungan bagi haiwan yang rentan itu.
Juga dikenali sebagai Gazella leptoceros, atau ringkasnya rhim, rusa bertanduk runcing ini hidup di kawasan padang pasir di Algeria, Tunisia, Libya dan Mesir.
Tetapi populasinya telah menurun dengan ketara kerana ia menjadi berharga untuk pemburu.
Menurut penilaian Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) pada 2016, terdapat antara 300 hingga 600 ekor rhim matang di hutan Afrika Utara.
Pencinta alam sekitar “ingin memindahkan haiwan liar di Farwa”, sebuah pulau pasir sepanjang 13 kilometer, sebagai sebahagian daripada usaha pemuliharaan rusa, kata Mohamed al-Rabti, salah seorang sukarelawan, memberitahu AFP.
Kumpulan pertama rhim telah dilepaskan beberapa minggu lalu, “diikuti oleh lapan ekor, termasuk seekor jantan dan tujuh ekor betina” pada 18 Julai, tambah Rabti.
Sebaik sahaja dilepaskan, rusa-rusa muda itu mula berlari bermain sebelum segera menghilang di sebalik semak liar di pulau itu.
Haiwan dengan tanduk runcing yang panjang dan langsing kecil ini, lincah dan mampu menyesuaikan diri dengan kehidupan padang pasir dengan bulu bewarna pucat yang membolehkannya bertahan dengan lebih baik dengan menyamarkan diri di landskap berpasir.
Warna itu kurang berkesan terhadap pemburu, yang telah menjadi pemangsa utama rusa tersebut untuk suatu ketika.
Dilengkapi dengan teropong, senapang automatik dan kenderaan pacuan empat roda yang berkuasa, sesetengah individu memburu haiwan itu sekadar sebagai hobi.
Ada juga yang memburu haiwan itu dengan harga setinggi 5,000 dinar Libya bagi setiap karkas.
Gazella leptoceros telah diklasifikasikan dalam Senarai Merah Spesies Terancam IUCN sejak 2016.
Tanpa sebarang bancian rasmi dari Libya, sebuah negara yang dilanda kekacauan dan ketidakstabilan sejak kejatuhan diktator lama Muammar Gaddafi pada 2011, sedikit usaha telah dilakukan untuk memelihara kehidupan rusa itu.
Namun dengan pelbagai usaha NGO dan aktivis, keadaan itu mungkin akan diubah.
Farwa, walaupun bukan habitat semula jadi mereka, nampaknya sesuai dengan kumpulan pertama gazel yang dilepaskan di pulau itu, kata Youssef Gandouz, seorang aktivis alam sekitar memberitahu AFP.
Mereka telah “dipantau dengan teropong dan dron dan berada dalam keadaan baik,” kata Gandouz.
Pulau itu juga merupakan habitat bagi penyu tempayan yang telah menjadi simbolnya, dan merupakan tempat flamingo dan burung penghijrah lain yang mengembara ke Afrika untuk berehat sebelum terbang merentasi Mediterranean ke Eropah.
ANCAMAN IKLIM
Walaupun ia masih tidak berpenghuni hari ini, Farwa pernah menjadi rumah kepada puak Amazigh sebelum mereka berpindah ke kawasan berdekatan di pedalaman.
Pulau itu kelihatan seperti gambar poskad yang indah, dengan pokok kurma bertaburan di pantai berpasir putih dan dikelilingi oleh Mediterranean yang berkilauan.
Gaddafi pernah bermimpi untuk membina sebuah tempat peranginan tepi laut yang mewah di sana, lengkap dengan vila terapung dan sebuah padang golf.
Dahulu terkenal dengan kehidupan liar yang luar biasa, kini pulau itu berhadapan dengan pelbagai ancaman termasuk penangkapan ikan haram dan pencemaran.
“Pelbagai persatuan dan universiti sedang melakukan usaha yang signifikan untuk melindungi biodiversiti dan litupan tumbuhan” di Farwa, kata Jamal Ftess, pengurus rizab pulau itu.
Selain hidupan liar, para pencinta alam sekitar juga telah berusaha untuk memelihara flora pulau yang terhad.
Persatuan tempatan seperti Bessida telah menanam tumbuh-tumbuhan yang tahan terhadap angin dan percikan laut dan memerlukan sedikit air. Ini boleh membantu menyediakan makanan untuk haiwan, dan melindungi daripada hakisan, kata mereka.
Gandouz, membantu sukarelawan memindahkan beberapa tumbuhan, menyatakan bahawa ia adalah usaha pemindahan kedua seumpamanya di Farwa.
“Tumbuhan di Farwa adalah mencukupi” untuk kelangsungan rusa rhim, kata Ftess, dan Gandouz menambah bahawa pulau sempit itu “kini menjadi tempat perlindungan yang selamat di mana penyu dan burung penghijrah boleh bersarang dan makan”.
Tetapi aktivis telah lama memberikan amaran bahawa hakisan pantai dan peningkatan paras air adalah antara ancaman yang didorong oleh iklim yang dihadapi pulau itu.
Ftess berkata kajian yang dijalankan oleh universiti Libya mendapati bahawa “antara 1961 dan 2006, pantai Farwa kehilangan 1.6 meter setahun, dan antara 2006 dan 2020 hakisan mencecah dua meter setahun.”
“Kami memerlukan bantuan pihak berkuasa untuk memuliharanya,” katanya. – AFP