Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 DIS – Penduduk kampung dan orang ramai terutama pejalan kaki Kampung Setia dan sekitarnya akan dapat berjalan ke Masjid Perdana Wangsa Haji Mohammad Kampung Setia lebih selesa dengan adanya enam lampu solar yang baru dipasang.
Tiang lampu dan lampu solar bagi kemudahan pejalan kaki menuju ke masjid berkenaan dipasang hasil daripada sumbangan wakaf dengan majlis penyerahan sumbangan tersebut telah berlangsung di kawasan masjid berkenaan, baru-baru ini.
Antara lain tujuan utama mewakafkan tiang lampu dan lampu solar itu adalah untuk menerangi lagi kawasan luar masjid dan sekitarnya serta di tempat kawasan letak kereta bagi kemudahan dan keselamatan para jemaah terutama pejalan kaki yang melalui kawasan tersebut pada waktu malam.
Manakala itu, lebihan daripada wang wakaf itu akan diperuntukkan untuk membeli kerusi, selipar dan barangan keperluan para jemaah bagi kemudahan lainnya.
Turut menghadiri dan menyaksikan majlis penyerahan sumbangan wakaf tersebut ialah Ketua Kampung Setia, Haji Asli bin Haji Mamut.
