Friday, April 26, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    ‘Demi maruah dan agama’

    Demi menjaga maruah dan agama, pelakon Syaffiq Sahli sanggup menolak tawaran sebuah filem disebabkan perlu melakonkan babak intim.

    Kata pelakon berusia 35 tahun itu, pihak produksi tersebut juga menawarkan ‘job’ tersebut dengan meletakkan harga yang tinggi untuk mendapatkan khidmat lakonannya.

    Tambah Syaffiq, dia tidak menyangka pihak produksi terbabit tergamak menawarkan kerja lakon seperti itu walaupun sudah mengetahui babak sedemikian sensitif khususnya buat masyarakat Melayu Islam di Malaysia.

    “Saya ditawarkan untuk membawakan watak seorang pegawai imigresen dalam sebuah filem. Difahamkan, ia filem indie dan objektifnya untuk masuk pertandingan di festival luar negara.

    “Saya tak diberitahu awal ada babak bercumbu dalam naskhah itu dan agak terkejut kerana produksi juga sedar bahawa saya berbangsa Melayu dan beragama Islam.

    Syaffiq tidak mahu gadaikan maruah hanya kerana dibayar dengan harga tinggi. – Agensi

    “Mungkin mereka sanggup meletakkan bayaran yang tinggi, tetapi saya tidak segila itu untuk menerimanya. Babak bercumbu? Saya masih lagi waras ya!” katanya kepada wartawan.

    Selain itu, pelakon drama 7 Hari Mencintaiku 2 itu berkata dia tidak pernah melakonkan babak-babak seperti berpeluk apatah lagi perlu bercumbu.

    “Babak yang ditawarkan itu, memang bercumbu betul-betul. Bukan setakat pegang tangan saja. Adegan peluk pun saya tak buat, apatah lagi kalau nak buat adegan bercumbu.

    “Kita ini Melayu, Islam pula itu. Walaupun memang kerja berlakon, tapi ada batasnya. Itu prinsip saya pegang selama ini. Bagi saya, melampau sangatlah kalau tergamak mahu buat babak bercumbu itu.

    “Ibu, bapa dan isteri mestilah tidak suka. Tak payah minta keizinan mereka pun, kita sendiri sebagai orang dewasa boleh fikir mana baik dan buruk,” katanya.

    Sementara itu, Syaffiq menegaskan dia tetap dengan pendiriannya walaupun terpaksa melepaskan peluang untuk meneroka dan mencipta nama di luar negara menerusi tawaran itu.

    “Memang saya akui, mungkin terlepas peluang untuk mara ke peringkat antarabangsa, tetapi tak apalah, tak mungkinlah saya sanggup nak langgar hukum syarak.

    “Saya dah bincang dan terangkan pada pihak produksi, terpaksa menolaknya dengan cara baik. Pengarah dan produksi secara amnya bukan orang Melayu, jadi mungkin mereka pun tak begitu faham dengan kepercayaan dan pegangan kita.

    “Tak apalah, saya pun tak salahkan mereka sepenuhnya. Terus-terang, kalau tak ada babak itu, saya terima saja,” katanya.

    Dalam pada itu, Syaffiq memaklumkan dia kini sedang menjayakan penggambaran filem genre seram berjudul Bangkitkan Aku Kembali yang diadaptasi daripada karya novelis Sophilea.

    Memegang watak utama bernama Zakuan, Syaffiq menerusi naskhah itu bergandingan dengan pelakon lain seperti Amy Nur Tinie, Aishah Azman, Mustaqim Bahadon dan ramai lagi.

    Penggambaran yang telah berlangsung selama 10 hari tersebut bakal ditayangkan menjelang akhir tahun ini. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Menteri India pengsan semasa berkempen kerana cuaca panas

    NEW DELHI, 25 APRIL - Seorang menteri India telah pengsan semasa berucap pada perhimpunan pilihan raya kerana cuaca panas ketika biro cuaca negara itu...