Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    ‘Demi masa depan lebih cerah’

    SABAH, MALAYSIA – Setiap pagi, apabila kanak-kanak datang ke sekolah, mereka akan memilih sebuah buku untuk dibaca atau barang mainan untuk bermain sementara menunggu sarapan pagi disediakan.

    Selepas itu, guru akan mengetuai sesi meraikan pelajar untuk memupuk hubungan yang sihat sesama pelajar.

    Ini dilakukan sebelum pelajaran bermula, kata Chuah Ee Chia, pengasas bersama Iskul Sama DiLaut Omadal (Iskul), yang bermaksud Sekolah Bajau Laut Omadal dalam bahasa Bajau.

    Terletak di Pulau Omadal di perairan timur Sabah, sekolah yang dikendalikan oleh komuniti untuk kanak-kanak tanpa kerakyatan itu bermula pada 2015 dengan pelajar sekolah Malaysia mengajar kanak-kanak berkenaan tiga mata pelajaran – Bahasa Malaysia, Matematik dan Seni – pada hujung minggu, di beranda salah sebuah rumah.

    “Iskul telah mencapai kejayaan besar,” kata Chuah, 40. “Dan ini semua disumbangkan oleh sokongan, geran dan tajaan daripada pihak yang bermurah hati sepanjang tahun.”

    Iskul telah berkembang sejak ia bermula pada 2015, apabila pelajar Malaysia mengajar kanak-kanak tanpa kerakyatan di beranda salah sebuah rumah. – Gambar ANN/The Star
    Chuah (kiri) bersama Ginara, kini berusia 18 tahun, yang ditemuinya 10 tahun lalu. – Gambar ANN/The Star
    Sarapan pagi juga masa membaca di Iskul. – Gambar ANN/The Star
    Setiap minggu, kanak-kanak membawa sampah dari rumah mereka dan menimbangnya sebelum meletakkannya dalam tong sampah di Iskul untuk dilupuskan. – Gambar ANN/The Star

    Salah satu penerima Anugerah Star Golden Hearts 2022 (SGHA) di bawah kategori pendidikan, Iskul juga pernah memenangi Anugerah Inspirasi Gamuda oleh Yayasan Gamuda dengan geran tambahan berjumlah RM120,000.

    Hari ini, Iskul mempunyai ruang sendiri dengan guru sepenuh masa, penyelaras projek dan lapangan. Tiga daripada bekas pelajarnya telah diambil sebagai penolong guru, atau mastal arikik (guru kecil dalam bahasa Bajau).

    Pada masa ini, terdapat 35 orang murid berusia tujuh hingga 13 tahun, yang menghadiri Iskul dari Sabtu hingga Rabu, jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.

    Janji ditunaikan

    Sekolah itu bermula 10 tahun lalu apabila Chuah pergi menyelam di pulau Mabul dan terserempak dengan penduduk yang tinggal di dalam bot di Pulau Omadal.

    “Kenangan pertama saya tentang tempat itu ialah seorang budak perempuan berusia lapan tahun – Ginara – yang mempunyai senyuman paling menawan yang pernah saya lihat.

    Dia mendekati saya dalam sampan untuk meminta wang. Saya berkawan dengannya dan mengikutnya ke rumah bot tempat dia tinggal bersama ibu bapa dan empat adik-beradiknya,” katanya.

    “Saya menemui lebih banyak tentang cara hidup mereka dan pelbagai cabaran yang dihadapi mereka,” tambahnya.

    Chuah berjanji pada dirinya untuk melakukan sesuatu untuk membantu.

    Namun hanya apabila dia kembali ke pulau itu dua tahun kemudian untuk menjalani latihan amali dan kerja lapangan bersama WWF Malaysia Semporna barulah dia mendapat inspirasi
    untuk memulakan sekolah di mana kanak-kanak yang berpendidikan, mengajar rakan sebaya mereka yang tidak bersekolah.

    “Saya melihat sekumpulan kanak-kanak bermain dan seorang daripada mereka – Sakinah – bertutur dalam bahasa Melayu. Saya memberitahunya untuk bertanya kepada kanak-kanak di sana sama ada mereka mahu pergi ke sekolah dan mereka menjawab tidak.

    Namun, apabila saya cadangkan Sakinah mengajar mereka, mereka bersetuju dengan penuh semangat,” ujarnya.

    Menyediakan kemudahan

    Banyak perkara yang kami ambil mudah dan bersikap tidak menghargai – air yang mengalir dari paip, sistem pembuangan sampah yang betul atau klinik kesihatan dengan doktor dan jururawat – tidak tersedia untuk mereka, kata Chuah.

    “Sebagai komuniti tanpa kerakyatan, ramai daripada mereka tidak mempunyai akses kepada pendidikan atau pekerjaan,” tambahnya.

    Sekolah itu juga mengajar pelajar tentang alam sekitar dan kebersihan asas. Ia memulakan projek perintis di mana isi rumah akan membuang sisa plastik mereka ke dalam tong sampah di Iskul (bukannya ke laut) dan pasukan Iskul akan membawanya ke Semporna (perjalanan yang mengambil masa 40 minit dengan menaiki bot) untuk dilupuskan, menurut Chuah.

    Pemberian geran telah memperluaskan program kemanusiaan Iskul di luar bidang pendidikan, seperti menyediakan tangki air untuk masyarakat mendapatkan air hujan. Ia juga telah memulakan ladang hidroponik mini dengan Universiti Putra Malaysia (UPM).

    Tidak ada kemudahan penjagaan kesihatan di pulau itu, maka Iskul telah memulakan klinik mini untuk menyediakan pertolongan cemas kepada masyarakat.

    Chuah berkata rancangan masa depan pasukan itu termasuk melatih 10 pembantu pertama komuniti untuk menyediakan rawatan asas kepada komuniti.

    Bagi memastikan kesinambungan Iskul, Chuah berkata adalah penting bagi kanak-kanak yang telah tamat pengajian untuk menjalankannya pada masa hadapan.

    “Kami berharap satu hari nanti, pelajar dan penolong guru kami akan dapat mengendalikan sekolah secara berdikari dan pada masa itu, ia mampu bertahan dan berdiri sendiri,” katanya semasa mengakhiri temu bual. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...