‘Demi melindungi risiko orang belum divaksinasi’

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Sebagai langkah berjaga-jaga untuk menjalani kehidupan normal baharu, hanya orang yang sudah menerima suntikan vaksin sahaja yang akan dibenarkan untuk masuk ke pejabat masing-masing.

“Ini bukan bermaksud untuk menghalang mereka yang belum divaksin tetapi ia adalah untuk melindungi semua pihak kerana risiko mereka yang tidak bervaksin ini adalah lebih tinggi,” kata Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa menjawab persoalan mengenai adakah hanya pekerja swasta yang belum menerima vaksin sahaja yang tidak akan dibenarkan untuk memasuki tempat kerja atau adakah ia juga tertakluk kepada kakitangan perkhidmatan awam.

Yang Berhormat Dato menjelaskan tujuan utama perlaksanaan pas vaksin tersebut adalah untuk melindungi semua orang, ia bukan hanya melibatkan perkhidmatan swasta bahkan besar kemungkinan ke atas para penjawat awam juga akan dilaksanakan.

“Namun, jawatankuasa COVID-19 akan memberi penjelasan lebih tepat mengenai hal tersebut, tetapi memang itulah hala tujunya, di mana mereka yang sudah menerima suntikan vaksin hanya dibenarkan masuk ke pejabat masing-masing.

“Ia juga bukan untuk membebankan mereka atau orang lain sekelilingnya, tetapi sebagai langkah berjaga-jaga, oleh itu mereka yang belum divaksin ini disarankan untuk tampil mengambil suntikan vaksin,” katanya.

Menurutnya lagi, terdapat juga golongan masyarakat yang tidak dapat menerima suntikan vaksin disebabkan perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan seperti masalah alahan pada kandungan vaksin atau sebaliknya.

“Namun dalam keadaan sebegini, mereka mestilah memiliki surat pengesahan daripada para pakar perubatan untuk membuktikan keadaan mereka yang tidak dapat diberikan suntikan atas sebab-sebab tertentu.

“Surat pengesahan perlu dimiliki dan dibawa oleh individu berkenaan di mana-mana mereka berada untuk memasuki premis-premis tertentu. Walau bagaimanapun mereka juga mestilah sentiasa beringat-ingat agar tidak keluar rumah jika tiada keperluan sementara masih berlakunya penularan yang masih tinggi ini. Hal ini begitu penting dititikberatkan untuk menjaga keselamatan mereka,” tekan Yang Berhormat Dato lagi.

Yang Berhormat Dato turut mengongsikan mengenai perancangan akan datang untuk memasukkan kenyataan-kenyataan berkaitan maklumat suntikan vaksinasi yang diperolehi dari luar negara yang juga termasuk golongan yang tidak dapat menerima suntikan vaksin untuk dimasukkan ke dalam aplikasi BruHealth.