Tuesday, May 13, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Demonstrasi anti-Ortega di Nicaragua

    MANAGUA, 1 Julai – Sekurang-kurangnya dua penunjuk perasaan maut dan 11 yang lain cedera di Nicaragua semalam ketika beribu-ribu penunjuk perasaan berarak untuk menentang Presiden Daniel Ortega di seluruh negara Amerika Tengah itu, menurut kumpulan hak asasi.

    Digelar sebagai ‘Perarakan Bunga’, demonstrasi itu dilancarkan bagi memperingati belia yang terkorban semasa demonstrasi terhadap pemerintahan Ortega termasuk penindasan yang dilancarkan oleh pasukan kerajaan yang telah menyebabkan sekurang-kurangnya 220 orang terkorban.

    Seorang penjual jalanan yang berusia 23 tahun itu ditembak mati di kepala ketika beberapa penunjuk perasaan memenuhi kawasan bagi demonstrasi tersebut, menurut kumpulan hak asasi.

    “Ini sesuatu yang sangat sukar,” kata Luis Ortiz, bapa kepada lelaki itu, yang berjuang bersama presiden beberapa dekad lalu ketika Ortega adalah pemerintah kumpulan pemberontak Sandinista.

    Penunjuk perasan melancarkan demonstrasi yang digelar ‘Perarakan Bunga’ bagi memperingati belia yang terkorban semasa demonstrasi sebelum ini di Managua pada 30 Jun 2018. – AFP

    “Saya tidak pernah membayangkan bahawa anak saya akan mati di tangan orang yang saya sokong dengan begitu keras. Saya memberikan keringat dan darah saya.

    “Saya masih seorang Sandinista,” katanya. “Tetapi tidak dengan Daniel,” merujuk kepada presiden.

    Pada awal perarakan lelaki bersenjata telah juga melepaskan tembakan terhadap perintang penunjuk perasaan di Universiti Autonomi Nasional Nicaragua (UNAN), di mana Pusat Hak Asasi Manusia Nicaragua (CENIDH) berkata seorang lelaki di belakang perintang yang dibina oleh pelajar itu telah terbunuh. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda