Friday, May 9, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Demonstrasi antikerajaan di Yerevan berterusan

    YEREVAN, 22 SEPT – Para penunjuk perasaan antikerajaan hari ini turun ke jalan raya di Yerevan untuk hari ketiga berturut-turut bagi menyuarakan bantahan terhadap cara kerajaan menangani krisis di Nagorno-Karabakh.

    Pada Rabu lalu, pihak pemisah Armenia di Nagorno-Karabakh bersetuju untuk menyerahkan senjata dan membubarkan kawalan tentera mereka, susulan serangan mengejut oleh Baku.

    Kejadian itu mencetuskan perhimpunan protes anti-kerajaan di Yerevan, dengan parti-parti pembangkang menuduh Perdana Menteri Nikol Pashinyan terlalu banyak memberi konsesi kepada Baku dan menuntut beliau meletakkan jawatan.

    Pemimpin pembangkang telah mengumumkan rancangan untuk memulakan penyingkiran Pashinyan di parlimen.

    Kumpulan-kumpulan kecil penunjuk perasaan telah menghalang jalan-jalan di ibu negara Armenia hari ini, berikrar untuk menghalang mesyuarat kabinet Pashinyan yang dijadualkan pada hari itu.

    Pihak polis telah menahan ahli politik pembangkang, Andranik Tevanyan, salah seorang penganjur protes tersebut.

    Para penunjuk perasaan juga menuntut agar kerajaan memberi perhatian kepada penduduk etnik Armenia di Nagorno-Karabakh dan membantu mereka untuk meninggalkan kawasan tersebut.

    Pashinyan hari ini berkata bahawa persediaan telah dibuat untuk menempatkan kira-kira 40,000 orang pelarian, namun beliau menegaskan bahawa matlamat utamanya adalah ‘memastikan rakyat kita dapat tinggal di rumah masing-masing tanpa rasa takut dan dalam suasana yang selamat.’ – AFP

    Penunjuk perasaan memegang pelekat ketika pegawai penguatkuasa undang-undang Armenia menjaga pintu masuk ke Rumah Kerajaan semasa perhimpunan di Yerevan pada 21 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda