Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Demonstrasi London bantah lawatan Trump ke Britain

    LONDON, 18 SEPT – Ribuan penunjuk perasaan berarak di pusat bandar London kelmarin bagi membantah lawatan negara kali kedua Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke Britain, ketika beliau diraikan di Istana Windsor.

    Para penunjuk perasaan membawa sepanduk yang mengkritik dasar AS mengenai imigresen, Gaza dan perubahan iklim, sambil berarak diiringi paluan gendang dan tiupan trompet dari Portland Place menuju ke Parliament Square.

    Seorang warga AS, Amanda, berkata dia datang dari Los Angeles khusus untuk menyertai demonstrasi itu.

    “Saya rasa keadaan sekarang sangat kacau-bilau. Kita tidak mempunyai kepimpinan yang baik dan saya sangat bimbang dengan hala tuju yang diambil AS dan dunia,” katanya.

    Sementara itu, kerajaan Britain pada Selasa mengumumkan Britain dan AS mencapai perjanjian teknologi bernilai berbilion dolar sempena lawatan Trump, bagi memperkasa bidang yang berkembang pesat seperti kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum dan tenaga nuklear.

    Google dilaporkan akan membuka pusat data di Waltham Cross, Hertfordshire.

    Philip Threlfall, penduduk Hitchin di Hertfordshire berkata pembinaan pusat data itu tidak dapat dielakkan, namun ia akan membawa kesan buruk kepada semua pihak, menjejaskan kawasan tanah lembap dan mendatangkan masalah yang sama berulang kali.

    Polis Metropolitan menganggarkan sehingga 5,000 orang menyertai protes pada Rabu. Sehari sebelumnya, polis mengumumkan lebih 1,600 anggota dikerahkan bagi mengawal demonstrasi, dengan amaran bahawa perhimpunan mesti berakhir sebelum jam 7 malam waktu tempatan.

    Demonstrasi itu dianjurkan kumpulan ‘Stop Trump Coalition’ yang turut mengadakan protes di Windsor pada malam Selasa, dengan hampir 100 penduduk tempatan dan peserta dari kawasan lain hadir sebelum ketibaan Trump.

    Menurut Istana Buckingham, Trump dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Britain Keir Starmer pada Khamis, hari terakhir lawatannya, di Chequers, kediaman rasmi perdana Menteri. – Bernama

    Suasana demonstrasi menentang lawatan Donald Trump di tengah London kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda