BERLIN, 8 Nov – Naby Keita telah dilaporkan dihentam dengan denda 415,000 euro (AS$480,009) kerana kesalahan menggunakan lesen memandu palsu.
Pemain antarabangsa Guinea dan RB Leipzig itu diperangkap polis selepas dua kali cuba mendapatkan permit memandu Jerman dengan menggunakan dokumen palsu Guinea.
Harian Jerman, Bild, memetik denda dianggarkan 415,000 euro, perkiraan mengikut gaji Keita, dan mahkamah Daerah Leipzig hanya mengesahkan bahawa denda adalah ‘jumlah enam angka’.
Pemain berusia 22 tahun yang bakal menyertai Liverpool bagi musim 2018 itu telah mengemukakan rayuan ke atas penalti dan sekiranya perkara itu ke mahkamah, kes itu kemungkinan didengar tahun depan.
Pendakwa raya di Leipzig menuduh Keita atas pemalsuan selepas dia dituduh cuba menggunakan dokumen memandu Guinea palsu untuk mendapatkan lesen Jerman pada bulan Disember lepas, kemudian sekali lagi pada bulan Januari.

Kakitangan di pusat pelesenan Leipzig mula timbul syak dan menyerahkan dokumen-dokumen itu kepada polis.
Pakar pemalsuan mengenal pasti dokumen-dokumen itu ‘palsu sepenuhnya’, menurut mahkamah Daerah Leipzig.
Namun, seorang jurucakap bagi RB Leipzig berkata bahawa ‘selepas perbincangan terperinci dengan pemain itu, kami tidak menyimpulkan ini adalah isu pemalsuan’.
Dia bukan bintang bola sepak pertama di Jerman yang dikenakan denda yang mahal atas kesalahan yang berkaitan pemanduan.
Pemain sayap Jerman Marco Reus terpaksa membayar 540,000 euro pada tahun 2014 apabila didapati dia memandu tanpa lesen memandu yang sah.
Keita juga mengalami keadaan tidak menentu di atas padang dalam beberapa minggu kebelakangan ini selepas diarah keluar padang sebanyak tiga kali dalam tujuh perlawanan bagi kelab dan juga negara. – AFP