Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 DIS – Sebuah syarikat pemaju telah dikenakan kompaun oleh Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Tutong setelah didapati melanggar Akta Kesalahan Rampaian 2021, Penggal 30 iaitu membuang sampah di merata tempat di kawasan tapak projek di tempat awam.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Daerah Tutong, syarikat berkenaan telah dikenakan denda kompaun sebanyak $500 dan dikehendaki untuk menjelaskannya dalam masa tujuh hari.
Jika gagal membayar denda berkenaan, syarikat itu boleh dihadapkan ke mahkamah di mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang $2,000 dan tidak melebihi $10,000 bagi kesalahan pertama.
Manakala itu, bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang $10,000 dan tidak melebihi $30,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.
Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Tutong mengingatkan orang ramai, pihak syarikat dan pemilik premis perniagaan supaya sentiasa menjaga kebersihan alam sekitar, khususnya di kawasan premis-premis perniagaan, tapak projek dan juga kawasan awam dengan tidak membuang, melonggokkan atau meninggalkan apa jua jenis sampah-sarap di tempat awam.


