THE HAGUE, 28 JUN – Penunggang basikal Belanda mulai Isnin akan menghadapi denda sebanyak 95 euro kerana memegang telefon bimbit ketika menunggang basikal mereka, dalam satu usaha untuk mengurangkan jumlah kemalangan.
Di sebuah negara yang mempunyai lebih banyak basikal berbanding orang, pemandangan penunggang basikal yang terpaku pada telefon pintar mereka ketika mereka menunggang di sepanjang terusan adalah umum.
Namun Belanda kini memperkenalkan undang-undang yang setakat ini hanya membabitkan pemandu kenderaan, di mana adalah haram untuk menggunakan kesemua peranti ketika memandu.
“Gesaan saya kepada semua penunggang basikal adalah jelas: simpan telefon bimbit dan 95 euro anda dalam kocek anda,” kata Menteri Pengangkutan Cora van Nieuwenhuizen hari ini.
Pengharaman juga meliputi tablet, alat muzik dan kamera.
Ia hanya melibatkan pergerakan, maka penggunaan peranti tersebut di lampu isyarat masih dibenarkan.
Penalti untuk pengguna basikal adalah kurang berbanding untuk pemandu kereta dan lori, yang menghadapi denda maksimum 240 euro.
Undang-undang tersebut juga akan dilanjutkan pada Isnin kepada pemandu trem di Belanda, yang akan menghadapi denda yang sama dengan pemandu kenderaan. – AFP