Oleh Nurdiyanah R. –
TUTONG, 3 JAN – Daerah Tutong mempunyai potensi untuk dijadikan sebagai salah sebuah destinasi pelancongan berasaskan penglibatan masyarakat.
Sehubungan itu, sebagai salah satu usaha meningkatkan lagi inisiatif pembangunan ekonomi berasaskan pelancongan, Jabatan Daerah Tutong melalui Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan telah menggiatkan lagi aktiviti penguatkuasaan Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian Pindaan 2021 Penggal 30.
Jabatan Daerah Tutong dalam kenyataan yang diberikan mengongsikan bahawa pada 2022, terdapat tiga individu dikenakan denda kompaun berjumlah keseluruhan $300 dan 20 buah syarikat dikenakan denda kompaun berjumlah $4,300.
Manakala pada 2023, tiga individu telah dikenakan denda kompaun berjumlah keseluruhan $300 dan 58 buah syarikat tempatan dikenakan denda kompaun berjumlah keseluruhan $34,500.
Jumlah kompaun yang dikeluarkan khususnya bagi syarikat adalah meningkat sebanyak 190 peratus.
Tindakan kompaun merupakan salah satu langkah proaktif Jabatan Daerah Tutong bagi memastikan persekitaran di Daerah Tutong dalam keadaan bersih dan selesa untuk dikunjungi dan merupakan destinasi pilihan pertama bagi dikunjungi oleh pelancong.
Selain langkah-langkah penguatkuasaan, terdapat juga langkah-langkah lain yang dikendalikan oleh pihak jabatan antaranya memberikan penghargaan kepada individu dan syarikat-syarikat yang sama-sama berperanan menjaga kebersihan premis-premis di bawah kawalan mereka.
Pada 2023 sahaja, dua individu dan enam buah syarikat telah diberikan penghargaan atas usaha mereka menjaga kebersihan.
Di samping itu, majlis perundingan mukim (MPM) dan majlis perundingan kampung (MPK) juga berperanan untuk menjaga kebersihan mukim dan kampung masing-masing.
Mengikut catatan Jabatan Daerah Tutong bagi 2023 sahaja, sebanyak 111 aktiviti berkaitan dengan kebersihan alam sekitar dikendalikan di seluruh Daerah Tutong.
Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Jabatan Daerah Tutong akan secara berterusan memastikan penguatkuasaan Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian Pindaan 2021 Penggal 30 sentiasa dipatuhi oleh individu dan syarikat-syarikat dari semasa ke semasa.
Menerusi penguatkuasaan berkenaan, ia mengingatkan mana-mana individu dan badan-badan korporat untuk sama-sama menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah di mana-mana tempat awam dan mana-mana akses bangunan tempat laluan orang awam dan jabatan itu tidak akan teragak-agak bagi mengambil tindakan penguatkuasaan jika didapati melakukan kesalahan di bawah Bab 12(1) Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian 2021.
Dalam pada itu, Jabatan Daerah Tutong menyeru agar semua pihak termasuk semua lapisan masyarakat untuk sama-sama berperanan menjaga kebersihan persekitaran masing-masing sesuai dengan pendekatan semua pihak. Apabila semua pihak memainkan peranan usaha ke arah menjayakan Wawasan Brunei 2035 akan lebih mudah untuk dicapai.