Salam sejahtera buat para pembaca yang dihormati, perkongsian saya dalam ruangan ini sebenarnya cukup berat untuk saya kongsikan sebagai santapan minda dan bacaan umum, namun saya rasa kini sudah tiba masanya untuk saya luahkan segala isi yang tersemat dalam hati ini agar dijadikan sebagai renungan dan iktibar buat generasi kita nanti.
Sebetulnya sudah 20 tahun berlalu, namun kenangan pahit itu masih segar dalam ingatan. Saya masih jelas mengingati wajah ibu yang penuh luka, kesakitan dan ketakutan ketika ayah memukulnya tanpa belas kasihan. Ketika itu, saya hanya seorang kanak-kanak berusia 10 tahun, terlalu muda untuk memahami sepenuhnya apa yang berlaku, tetapi cukup dewasa untuk merasakan ketakutan yang mendalam.
Ayah merupakan seorang peminum tegar. Setiap kali dia mabuk, dia berubah menjadi seorang yang ganas dan kejam. Malam itu, malam yang meragut nyawa ibu, adalah malam yang paling mengerikan dalam hidup saya. Ayah pulang dalam keadaan mabuk teruk dan pertengkaran antara mereka semakin memuncak. Saya hanya mampu bersembunyi di bawah meja, menangis teresak-esak sambil menutup telinga dengan tangan kecil saya, cuba menahan diri daripada mendengar jeritan dan tangisan ibu.
Keesokan paginya, ibu tidak lagi bangun. Dia telah pergi buat selama-lamanya, meninggalkan saya seorang diri dalam dunia yang penuh dengan kegelapan dan kesedihan.
Ayah ditangkap dan dijatuhi hukuman penjara. Pada saat itu, dunia seolah-olah tidak lagi mempunyai keadilan. Ibu telah tiada, dan ayah pula, yang sepatutnya melindungi kami, adalah punca segala penderitaan ini.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/07/P14-A-Freepik_13072024.jpg)
Selama 20 tahun, dendam terhadap ayah tersimpan rapi dalam hati saya. Setiap kali mengingati malam tragis itu, perasaan marah dan benci membuak-buak dalam diri. Trauma masa lalu sentiasa menghantui saya. Setiap kali mendengar suara keras atau melihat seseorang bertengkar, bayangan malam itu kembali menerjah dalam fikiran.
Kini, setelah 20 tahun, ayah dibebaskan dari penjara. Saya tidak tahu bagaimana perasaan saya ketika mendengar berita itu. Adakah saya patut gembira kerana dia telah membayar hutangnya kepada masyarakat? Atau adakah saya patut merasa benci kerana dia masih hidup sedangkan ibu telah tiada?
Grul
NASIHAT DANG MP
Terima kasih Grul kerana berkongsi kisah ini.
Tempoh 20 tahun memendam dendam memang satu waktu yang sangat lama. Memang tragis kehidupan Grul sejak kanak-kanak yang kehilangan ibu dengan sedemikian rupa.
Tambahan lagi, kejadian dilakukan oleh orang paling dekat dengan keluarga iaitu ayah Grul.
Dang MP hanya boleh menasihatkan Grul supaya jagalah kesihatan dan keselamatan Grul terlebih dahulu.
Dapatkan bantuan kaunseling sekiranya perlu. Kesihatan mental Grul paling penting pada masa ini. Kesan berdendam sebegitu lama mungkin mendatangkan keburukan ke atas mental dan emosi Grul.
Pada masa yang sama, janganlah Grul bertindak mengikut emosi dan mahu membalas dendam pula.
Kadang kala terlalu mengikut emosi akan membawa padah diri sendiri kerana bertindak melulu dan berlebih-lebihan.