(Siri 11)
Oleh Dino MN –
Masa telah berlalu begitu cepat. Pertukaran waktu siang dan malam terasa begitu singkat. Darud pun berubah seiringan waktunya.
Kini dia sudah mendapat apa yang menjadi keinginannya sewaktu meninggalkan kekasihnya Dara yang menghumbankannya ke lembah duka dan dia ingin kembali ke kampung halamannya.
“Aku akan balik ke kampung halamanku tidak lama lagi. Aku mau menemui ibuku…aku sangat rindu padanya…,” kata Darud yang dalam hatinya yang kini sudah bergelar Tok Darud oleh bapa saudaranya sendiri Liau Simpul. Hanya menunggu saat yang terbaik untuk melangkah balik.
Tengah malam saat semua penghuni Kampung U-ud Liyu sudah nyenyak tidur Tok Darud masih belum tidur lagi. Dia asyik duduk di atas tikar mengkuang. Di kiri kanannya dipasang lampung minyak tanah di empat penjuru dengan sumbunya dikawal agar tidak begitu menerangi sekitar tempatnya duduk mengasah ilmu.
“Saat aku kembali ke kampung halamanku…aku akan menjaga mamaku…sudah begitu lama tidak bertemu mama…,” kata Tok Darud sendirian. Malam terus sepi…bunyi-bunyi cengkerik bersahutan di pinggir hutan yang memagari rumah kediaman Liau Simpul. Udara semakin sejuk bila saja angin dari luar memasuki ruang rumah melalui celah-celah dinding kayu yang pecah.


“Ada apa tuanku memanggilku?”
“Aku ingin memberitahumu bahawa aku akan kembali ke kampung halamanku.”
“Bila masa tuanku akan kembali?” Tok Darud seolah-olah bercakap sendirian. Tetapi sebenarnya dia tidak bercakap sendirian. Dia melayani makhluk peliharaannya yang bersumpah menjadi orang suruhan Tok Darud. Makhluk peliharaan itu akan setia selagi Tok Darud memberikannya tumbal untuknya.
Setelah Tok Darud berbicara dengan orang peliharaannya, dahan kayu ara yang tinggi rendang itu bergoyang dan mendesus bagai ditiup angin. Bunyi yang menyeramkan itu disahut pula suara lolongan anjing teman orang peliharaan Tok Darud. Sungguh-sungguh menegakkan bulu roma. Tok Darud senyum puas dengan apa yang berlaku.
Lewat larut malam barulah Tok Darud masuk ke bilik tidur dan memasang kelambu agar tidak diganggu nyamuk. Semua lampu minyak tanah telah dipadamkan oleh Tok Darud menjadikan ruang menjadi gelap.
Di kampung asal Tok Darud iaitu Kampung Tanjung Pelajau yang jarak perjalanannya memakan masa lebih lima jam dari Kampung U-ud Liyu itu, sekejap lagi akan masuk waktu sembahyang subuh. Dewata sudah selesai mandi subuh. Dia tidak perlu turun ke pangkalan sungai kerana Dewata dari dulu sudah mengangkut air sungai dan menyimpannya dalam deram besar bagi kegunaan mandi-manda dan memasak.
Sementara itu Dara masih di dapur menyiapkan sarapan pagi dengan ubi manis yang direbus. Demang Muda…anak mereka yang baru berusia lima tahun masih tidur di tempat tidurnya. Sesekali anak kecil itu sudah menggeliat beberapa kali mungkin juga mahu bangun pagi. Sementara itu Dewata masih duduk di sejadah berzikir dan bertahmid dan bertahlil. Sambil memohon keselamatan keluarganya.
Demang Muda sudah bangun. Dia menuju kepada ibunya yang sedang menyiapkan sarapan pagi. Dara terus mengambil anaknya Demang Muda dan menggendongnya.
Demang Muda didudukkan di kerusi kecil untuknya. Dara menggunakan kerusi itu setiap hari untuk Demang Muda. Dewata masuk ke ruang dapur dan duduk di sebelah kanan Demang Muda. Dara pula duduk di sebelah kiri Demang Muda. Mereka sarapan pagi bersama setiap hari.
Tiba-tiba Demang Muda pengsan terkulai di pangkuan Dewata. Ibunya Dara begitu cemas dan meraung memanggil-manggil Demang Muda. Dewata memberikan rawatan untuk anaknya sementara Dara bergegas ke rumah bapa mertuanya Megat Koming.
“Bapa…bapa…bapa…,” suara Dara dari halaman rumah Megat Koming bergema pada pagi hari itu. Selindang Putih terus menjenguk melalui jendela bilik tamu dan melihat Dara berlari sambil memanggil Megat Koming. Selindang Putih terus mendapatkan menantunya bertanya mengapa dia begitu cemas.
“Demang Muda tiba-tiba saja terkulai pengsan dan tidak sedarkan diri..,” kata Dara kepada ibu mertuanya dalam keadaan cemas. Megat Koming baru saja balik dari pangkalan membawa dua tin air sungai untuk kegunaan di rumah.
“Mengapa kau menangis Dara? Apa yang berlaku pagi-pagi begini?” tanya Megat Koming. Selindang Putih isterinya terus menceritakan apa yang diceritakan Dara padanya tadi.
“Dewata ke mana?” tanya Megat Koming berasa khuatir akan cucunya Demang Muda.
“Dia di rumah menyelamatkan anakanda Demang Muda.”
“Selagi Dewata berada di sisi cucuku Demang Muda…dia tidak akan apa-apa.” Mereka berjalan cepat kerana rumah Dewata tidak jauh dari rumah Megat Koming.
“Berhenti sebentar…,” kata Megat Koming kepada isterinya Selindang Putih dan juga menantunya Dara.
Mereka berhenti dan sambil berdiri matanya menantang ke arah cahaya kemerahan yang terpancar keluar dari bumbung rumah Dewata. Dia terus berselawat dan membaca Ayatul kursi.
“Biarkan cahaya itu lenyap dahulu…,” kata Megat Koming sambil menunjukkan jari telunjuknya ke arah cahaya itu. Setelah itu mereka bertiga bergegas naik ke rumah.
Dewata sedang menggendong puteranya yang sudah pun sedar diri pengsannya tadi.
Megat Koming terus mengambil cucunya dari Dewata dan terus menyapu muka cucunya sebanyak tiga kali.
“Ahamdulillah…,” kata Megat Koming terus menyerahkan Demang Muda kepada Selindang Putih. Selindang Putih terus memeluk cucunya dengan peluh kasih sayang kerana Demang Muda sudah boleh senyum kepadanya.
“Kami tadi nampak bebola api sepertinya keluar dari bumbung rumah kau Dewata,” kata Megat Koming kepada Dewata. Mereka nampak bebola api itu seperti menitiskan bunga api kecil sepanjang bebola api itu terbang menuju ke puncak kayu ara di seberang sungai itu.
“Patutlah mula-mula anakanda Demang Muda sedar tadi dia menunjuk ke atas sambil mengatakan takut!!!…hantu!!!…katanya sambil menjerit kuat,” kata Dewata menjelaskan kepada bapanya Megat Koming.

