Sabtu, 22 November 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dendam Tok Darud

    Dendam Tok Darud

    Dendam Tok Darud

    Dendam Tok Darud

    Dendam Tok Darud

    (Siri 13)

    Oleh Dino MN –

    Kampung Tanjung Pelajau, kampung yang tenteram di bawah penguasaan seorang penghulu membuatkan penghuni kampung hidup selesa dan aman. Penduduk kampungnya selalu bergotong-royong dalam melakukan pekerjaan harian.

    Dewata dan isterinya Dara hidup penuh bahagia. Kini mereka sudah mempunyai dua orang anak. Anak kedua mereka seorang perempuan yang baru berusia tiga tahun. Demang Muda anak mereka yang sulung kini memasuki usia tujuh tahun.

    “Demang Muda sudah besar…abang fikir kita mengadakan majlis berkhatan untuknya,” kata Dewata kepada isterinya Dara.

    “Apa pendapatmu sayang?” sambungnya lagi.

    “Sayang setuju saja. Lagipun Demang Muda sudah selayaknya berkhatan. Dia sudah tumbuh menuju remaja.”

    Dewata dan Dara mengadakan majlis berkhatan untuk Demang Muda secara kecil-kecilan. – Agensi
    Tok Darud berusaha menyembuhkan penduduk kampung yang terkena penyakit aneh. – Agensi

    “Kita akan adakan pada bulan hadapan dengan majlis kecil-kecilan sahaja,” kata Dewata pada isterinya Dara.

    Saat Dewata dan Dara merancang untuk mengadakan majlis berkhatan bagi Demang Muda, Tok Darud pula merancang untuk balik ke kampung halamannya iaitu Kampung Tanjung Pelajau. Dia sudah menemukan kertika dan hari yang bersesuaian dengan kalendar kuno yang dipelajarinya. Sahabatnya yang di U-ud Liyu sudah sanggup menghantarnya balik.

    Mereka sudah bertolak dari Kampung U-ud Liyu seawal pagi kira-kira jam tujuh pagi tadi. Mereka sudah menyusur sungai itu kira-kira dua jam berlalu menuju ke hilir ke Kampung Tanjung Pelajau. Air sungai yang tuhur disebabkan musim kemarau menyulitkan perjalanan motor sangkut yang mereka gunakan.

    Mereka terpaksa menempuh alur sungai yang sempit dan halangan dari tunggul-tunggul akar kayu di dalam sungai itu dan terpaksa memberhentikan enjin motor sangkut kerana pin kipasnya yang patah. Selalunya perjalanan dalam keadaan air sungai yang tuhur seperti itu perjalanan mengambil masa sampai lapan jam baru sampai ke Kampung Tanjung Pelajau.

    Setelah tiga jam dalam perjalanan menuju ke kampung Tanjung Pelajau yang memenatkan itu, Tok Darud dan sahabatnya berhenti untuk rehat dan makan. Mengikut sahabatnya yang menghantar Tok Darud mungkin lima jam lagi perjalanan mereka baru sampai.

    Dewata dan Dara sibuk menyiapkan majlis berkhatan untuk Demang Muda. Suasana sudah mulai petang dan malam nanti selepas Isyak acara dimulakan. Dewata menjemput penduduk kampung yang berada di sekitar yang berhampiran saja. Acara malam nanti dimulakan dengan Dikir Marhaban dan nanti Demang Muda duduk di kerusi yang berhias dan akan ditaburi bunga rampai. Selesai majlis berdikir barulah dilakukan acara berkhatan yang dilakukan oleh seorang yang khusus dalam bidang itu.

    Mak Kunah mamanya Darud baru selesai mandi di pangkalan sungai. Disebabkan air sungainya yang tuhur, Mak Kunah terpaksa menaiki tebing sungai itu seperti menaiki bukit.

    Dalam keadaan yang lemah disebabkan usianya yang sudah tua, dia membawa satu tin kecil yang berisi air lima liter untuk kegunaan di dapur. Kadang-kadang Mak Kunah berhenti pertengahan pendakian tebing sungai itu untuk melepaskan rasa lelahnya. Dalam keadaan dirinya yang semakin menua teringatlah Mak Kunah kepada anaknya Darud di Kampung U-ud Liyu. Apa akan jadi sekiranya aku tiada…katanya dalam hati.

    Sebenarnya Mak Kunah kadang-kadang ada juga berhubung dengan Darud melalui orang kampung dari U-ud Liyu yang turun ke hilir melintasi kampung Tanjung Pelajau. Darud tidak lupa berkirim beras pada mamanya Mak Kunah hasil sawah yang diusahakannya. Mak Kunah tidak lupa memberi khabar dirinya kepada anaknya Darud begitu juga Darud memberikan khabarnya pada mamanya Mak Kunah.

    Apabila lelahnya berkurang, Mak Kunah terus berjalan naik tebing sungai dan terus naik ke rumahnya. Dia mengisikan air dalam tin yang dibawanya tadi ke dalam taju besar. Setelah itu dia bergegas untuk solat Maghrib sebab dia akan ke rumah Dewata bagi menghadiri jemputan doa selamat berkhatan bagi anak Dewata, Demang Muda.

    Bunyi deru enjin motor sangkut yang membawa Tok Darud memecah kesunyian perjalanan Tok Darud malam itu. Kata sahabatnya yang menghantarnya, mereka akan sampai dalam masa lebih sedikit dua jam. Jam pada masa itu menunjukkan kira-kira pukul lapan suku.

    Itu bererti mereka akan sampai sekitar jam sepuluh malam. Tok Darud merasa lelah dan pinggangnya terasa sakit kerana kelamaan duduk dalam motor sangkut itu.

    Akhirnya motor sangkut yang membawa Tok Darud sudah sampai di pangkalan rumah Mak Kunah. Mak Kunah terkejut melihat anaknya Darud ada di rumahnya.

    “Mama dari mana?” tanya Tok Darud pendek.

    “Dari rumah Dewata ada majlis berdikir dan doa selamat untuk majlis berkhatan anaknya Demang Muda.”

    “Ohhh, tidak terasa begitu cepatnya masa berlalu…Dara sudah punya anak yang sudah besar,” kata Tok Darud sambil melurut-lurut janggutnya.

    “Mama tidurlah dulu…sudah pukul sebelas,” kata Tok Darud.

    Tok Darud yang sudah kembali ke kampungnya sudah memulihkan hubungannya dengan keluarga Megat Koming bapa Dewata dan keluarga Pakrul Liman bapa Dara. Semua penduduk kampung tahu yang Tok Darud pernah bersengketa dengan keluarga Megat Koming dan keluarga Pakrul Liman sehingga Mak Kunah membawanya pergi ke Kampung U-ud Liyu agar Darud tenang di sana.

    Seiring dengan perjalanan waktu penduduk kampung menjadi tertanya-tanya mengapa adanya kejadian-kejadian yang mendadak melanda mereka. Penyakit-penyakit yang aneh yang melanda di kampung mereka itu amat mencemaskan.

    “Baik saja Tok Darud dapat menyembuhkan mereka daripada penyakit itu,” kata sesetengah penduduk kampung.

    “Ya betul…ibu saya yang menderita sakit aneh itu pun sekarang sudah membaik dan sembuh setelah Tok Darud mengubatinya.

    “Tetapi adik perempuan saya tidak sembuh walaupun Tok Darud cuba mengubatinya… akhirnya adik saya meninggal,” kata seorang daripada penduduk kampung.

    “Kata Tok Darud soal kematian memang tiada ubatnya, dia tak sanggup mengubatinya…”

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Dendam Tok Darud

    Dendam Tok Darud

    Dendam Tok Darud

    Disyorkan Untuk Awda