(Siri 14)
Oleh Dino MN –
“Apakah kau cukup puas dengan perkara yang hambamu ini lakukan?” suara itu mendesing-mendesus di telinga Tok Darud.
Tok Darud yang duduk bersila menghadapi dupa kemenyan yang berasap tebal berkepul-kepul itu senyum puas.
“Bagaimana denganmu?,” tanya Tok Darud sambil mengibas-ngibas asap tebal kemenyan yang memenuhi ruang biliknya.
“Hambamu cukup makan dan minum sudahlah…jika hambamu ini perlu makan dan minum, hambamu akan meminta lagi. Hambamu pulang dulu untuk istirahat…mungkin dalam setahun baru hamba timbul,” kata makhluk ghaib itu.
Selesai berdialog dengan Tok Darud, makhluk ghaib itu menghilang dengan iringan bunyi lolongan anjingnya. Sebelum tidur Tok Darud mematikan lampu minyak tanah dan menyimpannya di tepi dinding biliknya.


Mak Kunah sudah tidur dengan nyenyaknya. Dia juga merasa lelah dan tidak tahan berjaga jauh-jauh malam.
Tadi bila dia balik ke rumah selepas menghadiri majlis berkhatan anak lelaki Dewata, dia terkejut melihat Darud sudah ada dalam rumahnya.
Dia mahu bercerita bersama anaknya Darud tetapi dia merasa mengantuk. Akhirnya Mak Kunah berjanji akan bercerita pada esok pagi saja.
Bunyi riuh ayam jantan berkokok bersahut-sahutan menyedar dan membangunkan Dewata yang menandakan waktu subuh sudah menjelang. Dewata terus ke pangkalan sungai untuk mandi.
Selesai mandi dan berwudhu, Dewata terus naik ke rumah dengan membawa dua tin air sungai untuk diisikan ke dalam tajau besar untuk kegunaan isteri dan dua anak. Selesai dia solat Subuh, Dewata sudah turun awal pagi untuk menoreh getah.
Suasana pagi dingin dan embun masih lagi belum kering, cuaca pula cerah tiada mendung membolehkan Dewata menoreh pohon-pohon getah itu hingga selesai.
Itulah kerja utama yang dilakukan oleh penduduk-penduduk kampung Tanjung Pelajau termasuklah Dewata. Selain menoreh getah Dewata juga mengusahakan sawah padi dan kebun buah-buahan yang ditanam dan diusahakannya semasa masih muda. Kini Dewata hanya menuai hasilnya setiap musim berbuah dan menjual hasilnya di pekan.
Setelah empat bulan berlalu suasana kembali ribut di Kampung Pelajau berhubung dengan adanya lampung terbang setiap malam. Lampung itu kadang-kadang muncul sebelah timur Kampung Pelajau, kadang-kadang di sebelah selatan.
Ada kalanya muncul awal malam sehingga penduduk di sekitar jelas melihatnya. Tapi wujudnya hanya sekejap lepas itu padam dan menjelma lagi beberapa minit kemudiannya dan padam lagi.
Penduduk kampung semuanya merasa cemas. Mereka akan berkumpul bersama ahli keluarga mereka pada awal malam untuk mengelakkan dari bencana yang dinampakkan oleh lampung terbang waktu malam.
Ada yang pernah melihat lampung terbang itu hinggap di atas bumbung rumah Mak Kunah. Mereka syak yang bermain ilmu hitam itu adalah Mak Kunah mama Tok Darud.
“Tidak mungkin Mak Kunah mempunyai ilmu hitam seperti itu. Saya kenal Mak Kunah sejak lama…tidak pernah pun dia membuat perkara keburukan seperti itu,” kata penghulu kepada beberapa orang penduduk kampung yang mengadu keberadaan lampung terbang yang mereka nampak.
“Kami sendiri pernah nampak lampung terbang itu singgah betul-betul di atas bumbung rumah Mak Kunah, penghulu,” kata salah seorang daripada penduduk kampung yang turut melaporkan kejadian lampung terbang itu.
“Betul…benar…betul…,” kata yang lain dan mereka beramai-ramai mengatakannya.
“Saya akan selidiki hal ini dan akan memanggil Mak Kunah untuk menjawab segala aduan yang kamu katakan agar menemukan titik perselisihan yang kamu semua risaukan itu,” jawab penghulu menjanjikan kepada beberapa penduduk kampung yang mengadu padanya.
“Baiklah penghulu…kami mohon balik dulu dan kami berharap Mak Kunah dapat menjelaskannya.
Semua mereka pun bersurai masing-masing menuju ke tempat sendiri.
Mak Kunah telah dipanggil oleh penghulu untuk bertanggungjawab terhadap kerisauan dan tuduhan terhadapnya oleh penduduk-penduduk kampung.
“Saya panggil Mak Kunah ke rumah saya kerana ada sesuatu yang sangat penting hendak saya katakan kepada Mak Kunah.”
“Ada apa penghulu yang hendak penghulu katakan pada saya. Saya merasa semacam ada sesuatu yang tidak kena dengan saya?” tanya Mak Kunah pada penghulu.
“Begini Mak Kunah…”, penghulu berhenti seketika bila melihat isterinya tiba-tiba masuk ke bilik tamu.
Dia membawa satu hidangan kopi dan kuih untuk suaminya dan tetamu suaminya.
“Eh…Mak Kunah…apa khabar kamu Mak Kunah…silakan minum kopinya Mak Kunah,” isteri penghulu menyapa dengan sopan kepada Mak Kunah.
Lepas itu dia beredar ke ruang dalam dan membiarkan suaminya menyelesaikan perkara itu bersama Mak Kunah.
“Begini Mak Kunah…adakah Mak Kunah mengamalkan ilmu hitam?” tersentak Mak Kunah bila mendengar pertanyaan daripada penghulu itu.
Terasa darah panasnya naik ke mukanya dan ingin rasa dia menghentak meja depan penghulu itu. Tapi Mak Kunah dapat menyembunyikan kemarahannya dan dia terdiam sebentar untuk menjawab pertanyaan penghulu.
“Penghulu…saya tidak mengamalkan ilmu hitam seperti yang penghulu katakan itu…malah sepatah perkataan ilmu hitam pun tidak ada pada jasadku,” kata Mak Kunah menjelaskan pada penghulu.
Penghulu menenangkan hati Mak Kunah dan mempelawanya minum dulu kopi yang terhidang.
Mak Kunah segera mencapai cangkir berisi kopi dan menghirup kopi yang sudah setengah dingin.
“Saya percaya kata-kata Mak Kunah itu tadi. Cuma sesetengah penduduk kampung nampak adanya lampung terbang dan singgah atas bumbung rumah Mak Kunah dan bertenggek beberapa ketika sebelum padam seolah-olah Mak Kunah yang punya ilmu hitam tersebut.
“Saya berani bersumpah penghulu, jika saya mempunyai ilmu hitam seperti orang-orang kampung maksudkan…biarlah saya mati disambar petir,” kata Mak Kunah sambil mengangkat tangan kanannya menunjuk ke langit.

