Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dendam Tok Darud

    (Siri 15)

    Oleh Dino MN –

    “Mak Kunah tak perlu bersumpah…sekali lagi saya katakan, saya yakin Mak Kunah tidak terdapat ilmu hitam itu…saya percaya itu.” Penghulu dan Mak Kunah minum lagi kopi yang terhidang. Mereka berdua bercerita lagi dengan hal-hal kehidupan yang lain yang mereka lalui di Kampung Pelajau.

    Setela agak lama juga Mak Kunah di rumah Penghulu sambil bercerita dengan isteri penghulu barulah Mak Kunah minta diri untuk pulang ke rumahnya. Dalam perjalanan pulangnya, Mak Kunah mengingat kebaikan penghulu dan isterinya.

    “Penghulu dan isterinya begitu baik melayan aku dan meminta aku bersabar,” kata Mak Kunah sendirian sambil melangkah pulang. Kira-kira 50 meter lagi dia sampai ke rumahnya…dia nampak anaknya Darud sedang membelah kayu untuk dijadikan kayu api.

    “Belum habis lagikah kayu itu kau belah Darud?” tanya Mak Kunah kepada Tok Darud.

    “Sedikit lagi mak…,” jawab Tok Darud sambil menyapu mukanya yang berkeringat dengan tuala kecil.

    Dewata melihat ramai orang kampung berkumpul di tepi sungai semasa dia hendak pergi bekerja menoreh getah. – Agensi
    Gambar Agensi

    “Sudahlah tu Darud esok-esok lagi mengerjakannya.”

    “Semua sudah datang?” tanya penghulu Kampung Tanjung Pelajau kepada beberapa penduduk kampung.

    “Semua kami datang penghulu.”

    “Baguslah kalau begitu.” Penghulu terus memulakan persidangan pagi itu. Penghulu mengatakan bahawa sepanjang penjelasan dari Mak Kunah, jelas tiada mencurigakan yang Mak Kunah sebenarnya tidak memiliki ilmu hitam.”

    “Tapi mengapa lampung terbang itu hinggap atas bumbung rumah Mak Kunah?” tanya salah seorang daripada penduduk. Yang lainya bersuara mengiakan apa yang mereka dakwakan selama ini.

    “Saya sendiri yang menyelidiki dan bertanya kepada Mak Kunah dan Mak Kunah berani bersumpah jika dia memiliki ilmu hitam dia rela mati disambar petir,” kata penghulu menjelaskan kepada mereka yang selalu menyangka Mak Kunah memiliki ilmu hitam.

    “Tak patut Penghulu…mungkin Mak Kunah ingin menyembunyikan ilmu hitamnya kepada kita semua.” Semua mereka yang hadir di rumah Penghulu itu turut bersetuju.

    “Sudah-sudahlah membuat fitnah kepada Mak Kunah. Biarkan dia hidup tenang dan senang di hari tuanya,” kata penghulu dan meminta penduduk kampung bersurai.

    “Kenapa mama dipanggil oleh penghulu semalam mak?” tanya Tok Darud kepada ibunya, Mak Kunah. Dia minta ibunya menceritakan sebabnya agar hatinya tidak gelisah.

    Mak Kunah pun menceritakan sebab-musababnya dia dipanggil oleh penghulu. Kata Mak Kunah ada sebilangan penduduk kampung yang membuat aduan kepada penghulu kononnya mereka nampak ada lampung terbang yang singgah di atas bumbung rumahnya.

    “Mereka mendakwa bahawa mama bermain dengan ilmu hitam…jadi mereka mengaitkan beberapa kejadian orang yang sakit di kampung kita ini adalah ulah mama.

    “Kurang ajar betul orang-orang kampung ni membuat tuduhan yang liar pada mama,” kata Tok Darud dengan geramnya. Darud berjanji melindungi ibunya dari tuduhan liar itu.

    “Tidak perlu kau buat begitu Darud..penghulu telah melepaskan mama kerana mama bersumpah tidak memiliki ilmu hitam itu,” kata Mak Kunah pada anaknya Darud.

    “Mereka yang menyinggung mama tidak seharus dibiarkan hidup senang…mereka harus bertanggungjawab dengan tuduhan mereka itu mak,” kata Tok Darud dengan hatinya yang geram. Tok Darud akan melihat sampai bila mereka buka mulut untuk menuduh ibunya Mak Kunah.

    Malam itu Tok Darud turun ke pangkalan sungai untuk mandi. Dia memang senghaja turun ke pangkalan sungai agak lewat. Mak Kunah beberapa kali mengingat dan menyuruh Darud anaknya mandi awal sebelum malam kerana dia khuatir dengan lampung terbang yang orang-orang kampung ceritakan itu.

    Tok Darud mula duduk di lanting pangkalan mandian dan mencedok air sungai itu dan menyiramkan ke tubuh badannya memulai dari atas ubun-ubun kepalanya sambil mulutnya terkumat-kamit seolah-olah membaca mantera.

    Tidak lama selepas Tok Darud mandi dengan jampi manteranya, tiba-tiba saja air sungai itu menggelegak betul-betul di hadapan Tok Darud.

    “Ini kerja yang perlu kau penuhi…huru-harakan sekitar penduduk kampung yang berani menyinggung mamaku,” pinta Tok Darud kepada penghuni sungai budak suruhannya itu.

    “Tidak kira siapa pun itu…tua atau muda, kecil atau besar kau kerjakan saja sesuka hatimu,” kata Tok Darud sendirian seolah-olah dia berbicara dengan seseorang.

    Mak Kunah sudah lelap tidur. Dia tidak sedar bila masa anaknya Tok Darud selesai mandi.

    Di biliknya Tok Darud duduk bersila dengan cahaya lampung minyak tanah yang samar-samar. Asap kemenyan yang dibakarnya dalam dupa itu berkepul-kepul tebal dan keluar melalui jendela yang tidak ditutup.

    “Buatkan mereka gempar saja. Kawanmu di sungai akan mula melakukan kerja yang telah disuruh,” Tok Darud bercakap sendirian di dalam biliknya. Lewat jauh malam barulah Tok Darud memadamkan lampung minyak tanahnya dan mula berbaring.

    Dewata yang bangun subuh esoknya, tidak mandi di lanting sungai kerana terasa badannya kurang enak. Jadi dia mandi di rumah saja menggunakan air yang dia simpan dalam deram untuk kegunaan di dapur. Selesai subuh Dewata siap sedia untuk kerja menoreh getah.

    Sebelum pergi dia sarapan dulu dengan ubi dan pisang bakar. Jam enam pagi Dewata sudah berangkat. Apabila saja dia melintasi berhampiran rumah penduduk dia melihat ramai orang kampung berkumpul di tepi sungai. Ada yang membawa bujak, ada yang membawa pukat pelanduk. Dewata hairan mengapa menangkap ikan menggunakan pukat pelanduk. Mungkin juga ikan tapah yang besar fikirnya dalam hati. Dia menghampiri kumpulan orang ramai itu untuk bertanyakan apa yang telah berlaku di situ.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda