(Siri 4)
Oleh Dino MN –
Dia bingkas dari duduknya dan terus meluru ke bilik tempat isterinya berada. Penghulu, tuan imam, Megat Koming dan Selindang Putih tergamam bila mendengar jeritan dari isteri Pakrul.
“Daraaa!!!…mana kau nakkk…” tangis Semayu menyebut-nyebut nama anaknya Dara.
Pakrul Liman terus mendakap isterinya yang menangis begitu kuat kerana kehilangan Dara anaknya. Pakrul Liman menyabarkan isterinya kerana penghulu dan tuan imam ada di bilik tamu mereka.
“Sabar dulu Semayu…mari kita layan dulu tetamu kita itu…soal Dara kita boleh mengadu kepada penghulu kampung..mereka ada datang ke rumah kita.” Akhirnya Semayu setuju walaupun sedu-sedannya masih ada.
“Maaf penghulu…tadi belum sempat memberi khabar tentang keadaan keluarga kami saat ini menghadapi masalah.”


“Masalah tentang anak kamu Darakah? Inilah sebab kami datang ke rumah kamu pagi ini…” Belum sempat memberi penjelasan, Semayu terus bertanya kepada penghulu di mana anaknya Dara masa ini.
“Sabar dulu…kita dengar dulu apa kata penghulu…,” kata Pakrul Liman pada isterinya.
Suasana reda sedikit barulah penghulu menyambung ceritanya. Penghulu meneruskan cerita yang dibawanya.
“Saya harap Pakrul Liman dan Semayu akan bersabar menerima cerita yang saya sampaikan nanti.
“Begini ceritanya Pakrul…” Penghulu memulai ceritanya dengan nada perlahan agar Semayu tenang.
“Mengikut cerita sebenar dari Megat Koming…pada tengah malam tadi mereka dikejutkan dengan mendengar pintu rumah mereka diketuk beberapa kali dan disusuli dengan suara memanggil nama anaknya Dewata. Jadi mereka menyangka yang datang tengah-tengah malam itu adalah kawan Dewata. Mereka mendengar Dewata tidur berdengkur dalam biliknya.
“Jadi Megat Koming dan Selindang Putih terus ke pintu untuk memastikan siapa orang yang memanggil-manggil nama anaknya Dewata…” Penghulu berhenti sebentar mengumpul nafas baru lepas itu dia bercerita lagi. Semayu nampak gelisah ingin tahu lebih cepat lagi.
“Begitu daun pintu terbuka…mereka terkejut yang datang itu adalah si Dara anak kamu Pakrul. Lagi mengejutkan dia membawa bungkusan kecil bajunya dan tidak kalah lagi yang mengejutkan Megat Koming dan Selindang Putih ialah Dara minta dinikahkan dengan Dewata.” Sampai di sini Semayu bangkit dan menyerang Selindang Putih dengan mendorongnya sehingga Selindang Putih tersungkur ke dinding rumah.
“Apa yang Dewata lakukan kepada anakku Dara hahhhh…,” bentaknya dengan garang dan ingin menampar Selindang Putih. Pakrul Liman mencegah tindakan isterinya dan memintanya bersabar dulu.
“Engkau fikir Dewata anakku itu tidak bermoralkah?” balas Selindang Putih. Dengan nada suara yang cukup berang. Mahu saja dia menampar muka rendahan Semayu isteri Pakrul Liman itu yang bercakap seada-adanya mengikut nafsunya saja.
“Baiklah…,” kata pendek penghulu. “…kamu semua dengar dari Megat Koming apa cerita sebenarnya,” sambungnya lagi.
“Dengar baik-baik…biar jelas kebenaran dan fakta yang sebenarnya berlaku…,” kata Megat Koming dengan sambil memandang tajam ke muka Semayu yang dilihatnya seorang yang rendah perangainya. Patut juga perangai itu pindah kepada anaknya fikir Megat Koming dalam hati.
“Yang datang mengetuk pintu rumah kami di tengah-tengah malam, mengganggu tidur kami itu adalah anak kamu Semayu…anak dara kamu dengan bungkusan pakaiannya…dengan hormat kami persilakan dia masuk dan bertanya kepadanya apa yang sebenarnya berlaku…kau tahu Semayu apa yang dia katakan?”
Mata Megat Koming berhenti seketika sambil memandang dengan mata yang tajam dan sinis kepada isteri Pakrul Liman yang dilihatnya terdiam tergamam mendengar apa dikatakan Megat Koming.
“Dia…anakmu, Dara itu mengatakan dia mahu hidup bersama Dewata anak kami…” Megat Koming berhenti berkata sebab tujuannya menyampaikan yang sebenarnya sudah selesai.
“Apakah Dewata anak kamu menjampi Dara sehingga Dara bertindak begitu?…dia telah mencabul maruah anakkukah?”
“Semayu…kau fikir sesuka hatikah merendahkan akhlak orang semahumu. Kau tidak tahukah atau Dara tidak memberi tahumu bahawa Dewata penah bersemuka dengan Dara menyatakan hasratnya untuk meminangnya…apa jawapan anakmu, dia merendahkan Dewata malah lebih kurang ajar lagi dia meludahi muka Dewata depan kawan-kawannya.
“Apakah itu caramu mengajar anakmu bersifat begitu?” jelas Selindang Putih mengejek Semayu.
“Mengapa kamu terima Dara naik ke rumahmu? Mengapa tidak disuruh balik saja?” balas Semayu marah dengan nada suara yang kesat.
“Semayu…kau fikir aku mau terima anakmu yang rendah moral itu?…aku punya hati nurani…jika tidak…seperti katamu itu tadi, aku boleh tolak dia dari tangga rumahku… tapi dia tidak mahu balik walaupun dia kau bunuh katanya,” kata Selindang Putih kepada Semayu. Mereka seperti pahlawan wanita yang ingin bertarung tenaga untuk melihat kekuatan masing-masing.
“Kau pergi ambil anakmu itu dari rumahku…kami pun tidak mahu perempuan seperti itu di rumah kami,” kata Selindang Putih lagi.
“Apa katamu Selindang Putih…?,” Semayu terus meluru menerkam ke arah Selindang Putih. Tidak berfikir lama Selindang mengelak dengan mudah dan mematikan langkah Semayu sehingga Semayu tersungkur di kerusi.
“Sudah…sudah…jangan bergaduh…ini tidak menyelesaikan masalah malah merumitkan keadaan,” kata Penghulu kepada isteri-isteri Megat Koming dan Pakrul Liman.
“Semayu…Semayu, kalau cuma sebegitu langkahmu jangan harap…ni aku…nama sebenarku Endang tamat dari perguruan silat Lembah Paiku mempertahankan diri tingkat atas. Tiada siapa yang dapat mengalahkanku dalam kalangan seperguruanku.
“Sebab itu aku digelar oleh guruku sebagai ‘Selindang Putih’,” kata Selindang Putih memperkenalkan dirinya agar Semayu sedar siapa di depannya yang menjadi lawannya.

