Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dendam Tok Darud

    (Siri 5)

    Oleh Dino MN –

    “Jangan main kekerasan macam ini. Masalah Dara harus kita selesaikan sekarang,” sampuk tuan imam kepada dua keluarga yang berbantahan tidak mahu kalah.

    “Ya betul tu…,” kata penghulu mengiakan kata-kata tuan imam sebentar tadi.

    “Dalam hal Dara anak kamu ini Pakrul Liman dan Semayu mungkin berita anak kamu menaiki ke rumah Megat Koming untuk bernikah dengan Dewata sudah tersebar. Jadi jalan terbaik ialah kedua-dua belah pihak daripada keluarga Pakrul Liman dan keluarga Megat Koming menyetujui saja hasrat mereka untuk hidup bersama,” kata tuan imam menyarankan hal itu kepada kedua-dua belah pihak.

    “Ini tidak mungkin berlaku. Maruah anak dan keluargaku akan kami pertahankan. Apakah hanya dengan menikahkan mereka dikira selesai? Puiii! Kamu semua bodoh…,” kata Semayu dengan angkuhnya mempertahankan maruah keluarganya.

    Suasana semakin hangat. Semayu mempertahankan maruah keluarganya. Selindang Putih mempertahankan martabat dirinya yang dikatakan bodoh oleh Semayu.

    Darud dan kawannya berjalan laju di jalan kampung menuju rumah Megat Koming. – Agensi

    “Yang menjatuhkan maruah keluarga kamu itu adalah Dara anak kamu sendiri. Tak tahu malu…perigi mencari timba. Naik ke rumah kami minta nikah dengan Dewata. Apakah itu maruah yang dipandang tinggi. Maruah tidak beradat…,” kata Selindang Putih menuding tunjuknya kepada Semayu.

    “Sudahlah berperang mulut ni Selindang Putih. Tak elok juga didengar orang,” kata penghulu kepada Selindang Putih.

    “Aku tidak apa-apa penghulu…janganlah sambut kedatangan kita di sini dengan cerca dan maki hamun,” sahut Selindang Putih.

    “Pakrul Liman…Megat Koming suami isteri datang kemari untuk menyelesaikan masalah yang ditimbulkan oleh Dara anak kamu. Cuba tenangkan isteri kamu itu…dengar dulu apa kata kami yang datang ini…,” sambung penghulu lagi.

    Di saat bapa dan mama Dewata merundingkan hal Dara di rumah Pakrul Liman, saat bermulanya sengketa perang mulut, perang maruah antara dua keluarga, Dewata dan Dara berbual santai. Saat itu Dara menceritakan hal sebenar tentang hubungannya dengan pemuda yang menjadi kekasihnya iaitu Darud.

    “Sebenarnya aku sangat mencintainya. Percintaan kami berjalan selama enam tahun penuh janji manis dan terasa amat bahagia…” Dewata mendengar saja cerita cinta Dara bersama Darud. Dia juga sebenarnya menaruh hati sehingga dia memberanikan dirinya menyatakan hasrat hatinya dan sekali gus berani menerima hinaan dan ludahan benci daripada Dara.

    “Tapi saat itu aku membencimu Dewata kerana di mataku cuma ada Darud yang ku sangka baik…aku sanggup membencimu…,” sambung Dara lagi.

    “Pada satu hari aku tinggal seorang diri di rumah kerana bapa dan mama pergi ke rumah saudaranya. Masa itulah Darud datang seperti biasa…tapi bila dia tahu bapa dan mama tiada di rumah dia cuba mengambil kesempatan ingin menodaiku…aku bergelut mempertahankan diriku dan aku berjaya melarikan diri terus ke rumah bapa saudaraku…”
    “Kau tidak melaporkan hal ini ke orang tuamu?” tanya Dewata pada Dara. Dara terdiam seketika dan lepas itu dia menyatakan kepada Dewata yang dia mendiamkan diri saja.

    Sebab itulah Dara mengambil keputusan untuk bersama Dewata agar terhindar daripada gangguan Darud bekas kekasihnya.

    Di rumah Pakrul Liman masih saja berlakunya perselisihan antara isteri Pakrul Liman dan Selindang Putih.

    “Oleh sebab Dara yang naik ke rumah Megat Koming dan berkeras tidak mahu pulang ke rumah…dan mahu bersama Dewata, ada lebih baiknya mereka dinikahkan saja sebab Dara pun berkata yang dia tidak mahu pulang…,” kata tuan imam kepada penghulu.

    “Daripada semua orang kampung tahu seperti ayam bertelur sebiji riuh sekampung…lebih baik tutup saja mulut tempayan dari berbunyi…,” sambung penghulu menyokong kata tuan imam itu.

    “Bagi pihak kami tiada apa pun yang besar timbul…jika sekiranya Semayu tidak setuju dengan kata tuan imam itu, kami minta Pakrul Liman dan Semayu ambil saja Dara bawa balik…,” Megat Koming memberi cadangan kepada mereka. Semua terdiam. Tuan imam melihat raut muka Semayu yang serba salah mahu menerima atau menolak cadangan untuk menikahkan Dara dengan Dewata.

    “Jika begitu kami balik dulu sebab masih ada urusan lagi…,” kata penghulu pendek dan mahu pergi.

    “Urusan ini boleh selesai mahu ikut cadangan tuan imam atau ambil balik Dara dari rumah kami”. Nampak Pakrul Liman berbisik-bisik pada isterinya dan membawa Semayu masuk ke ruang belakang rumahnya. Megat Koming pula mohon pulang dan meminta tuan imam dengan penghulu menunggu di situ.

    Belum sampai ke petang khabar Dara naik ke rumah Megat koming meminta Dewata hidup bersamanya sudah menyebar seluruh kampung.

    “Darud…Darud…Darud…,” kawan Darud dari seratus meter berlari-lari menghampiri Darud yang sedang duduk di tangga belakang rumahnya. Dengan nafas tercungap-cungap dia terus menyampaikan khabar yang dia peroleh.

    “Kekasihmu Darud…”

    “Mengapa dengan Dara hah…?” tanya Darud sambil berdiri depan kawannya.

    “Dara kekasihmu telah naik ke rumah Dewata minta kahwin…”

    “Ahhhh…!” bagai petir menyambar Darud merasa jantungnya, seperti jatuh dan berdegup pantas dan kuat kerana marahnya Darud kepada Dara.

    “Dari mana kau tahu berita ini…betulkah atau palsu?”

    “Tadi aku dengar orang-orang kampung bercerita begitu hangatnya…kata mereka tak lama lagi diadakan pernikahan mereka”. Darud duduk semula di tangga dapur rumahnya. Dia terdiam langsung tidak berkata-kata lagi.

    “Ayulah kita jumpa Dara di rumahnya…apakah dia benar-benar mahu bernikah dengan Dewata…”

    “Dara tidak ada di rumahnya…dia sudah bersama Dewata dan dia tidak mahu balik ke rumahnya,” kata kawannya.

    “Jadi Dara di mana?” tanya Darud pada kawannya.

    “Dara di rumah Megat Koming…rumah bapanya Dewata. Dia tidak mahu balik ke rumahnya…dia mahu Dewata menikahinya”.

    “Kurang ajar…betul-betul kau kurang ajar Dara,” bentak Darud sambil menumbuk dinding rumahnya. Dia teringat beberapa waktu yang lalu dia hampir-hampir menodai Dara dengan paksa…tapi tak sempat kerana Dara berjaya lari ke rumah bapa saudaranya.

    Seminggu lepas itu Darud menemui Dara memohon maaf atas kecerobohannya itu. Sejak itu Dara tidak mahu keluar menemui Darud lagi.

    “Jika begitu kita ke rumah Dewata…aku akan rebut Dara dari tangan Dewata.” Tidak berlengah lagi Darud dan kawannya terus ke rumah Megat Koming bapa Dewata untuk menjemput Dara dan membawanya balik.

    Megat Koming dan juga isterinya Selindang Putih baru saja sampai di rumahnya lewat tengah hari sebab tiada kata putus dari Pakrul Liman dan isterinya Semayu.

    Megat Koming memberitahu Dewata yang Pakrul Liman dan Semayu tidak begitu setuju, terutama mama Dara. Jadi Megat Koming meminta Dara balik saja dulu ke rumah bapanya dan melupakan saja angan-angannya mahu hidup bersama Dewata.

    Dara pula tidak mahu balik dan berkeras mahu hidup bersama Dewata. Seketika itu juga penghulu dan tuan imam datang ke rumah Megat Koming. Mereka dipersilakan masuk oleh Selindang Putih. Mereka pastinya membawa khabar dari keluarga Pakrul Liman. Tuan imam pun terus mengatakan hasil perundingan mereka dengan Pakrul Liman…

    “Apa kata mereka tuan imam?”

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda