Sabtu, 22 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dendam Tok Darud

    Dendam Tok Darud

    Dendam Tok Darud

    Dendam Tok Darud

    Dendam Tok Darud

    (Siri 8)

    Oleh Dino MN – 

    Bunyi pukulan hadrah terdengar begitu indah. Diiringi dengan irama lagu nasyid dan pantun khusus untuk meraikan perkahwinan dan persandingan di antara Dewata dan Dara.

    Rombongan pengantin lelaki sudah sampai di halaman rumah Pakrul Liman. Bunyi riuh orang yang menyaksikan majlis perkahwinan daripada kedua-dua belah pihak keluarga sangat meriah sekali.

    Di sudut kanan rumah Pakrul Liman ada pentas setinggi lutut dihias dengan pucuk daun kelapa muda dan juga bunga mayang pinang dan keliling pentas itu dibuat dindingnya dari kain lepas untuk acara mukun. Acara mukun berbalas pantun itu diadakan pada sebelah malam untuk menghiburkan mempelai pengantin.

    Dalam suasana riuh meriah di pakarangan rumah pengantin perempuan, pengantin lelaki sudah selesai mengadakan keliling pusar naga tujuh kali pusingan.

    Lepas itu ketua pengantin lelaki sudah menuju dan menghampiri gerbang pintu rumah pengantin perempuan.

    Megat Koming mengangkat kakinya separas pusat lalu menyeru kalimah Allahuakbar sambil menghentak kaki sekuat tenaganya hingga buluh nipis itu terus pecah remuk. – Agensi

    Sebelum dibenarkan masuk ketua rombongan diminta menghentakkan kaki pada sepotong buluh yang disediakan di muka pintu oleh pihak keluarga pengantin perempuan jika berjaya memecahkan potongan buluh nipis yang berukuran sekaki panjang dan buluhnya yang sebesar ibu jari kaki itu barulah pengantin lelaki dibenarkan masuk untuk istiadat bersanding.

    Ketua rombongan sambil senyum menyetujuinya dan terus menghentak tumit kakinya ke arah potongan buluh nipis panjang sekaki itu.

    Hentakan kakinya tidak berjaya memecahkan buluh nipis itu. Orang ramai bersorak sambil ketawa mengatakan lagi..lagi…lagi.. hentak lagi…sambil ada yang mencemuh kononnya ketua rombongan lemah…tidak kuat.

    Sekali lagi dia menghentak dengan kuat namun buluh nipis itu tidak juga remuk. Orang ramai semakin bersorak kuat…ketua rombongan sudah mengambil tahu pasti ada yang tidak beres dengan buluh nipis itu.

    Dia mundur selangkah ke belakang dan memanggil bapa pengantin lelaki iaitu Megat Koming mengatakan ada yang ingin mencuba sesuatu.

    Dengan muka yang merah padam Megat Koming menghampiri Pakrul Liman yang tidak jauh dari gerbang pintu itu. Suasana menjadi tegang dan sepi seketika bila melihat Megat Koming begitu garang bertanya kepada Pakrul Liman.

    “Apakah ini ulah kamu hai Pakrul Liman?”

    “Demi Allah tidak sekali-kali kami berani berbuat perkara yang memalukan ini,” sumpah Pakrul Liman.

    “Baiklah aku percaya padamu,” kata Megat Koming dan dia maju ke depan mengambil alih posisi tempat ketua rombongan.

    “Kamu ke belakang dan berdiri depan Dewata,” ketua rombongan mengikut kata Megat Koming.

    Dengan berdiri gagah, Megat Koming menyapu mukanya tiga kali dan melurut-lurut misainya dan mengangkat kaki-nya separas pusat dia terus menyeru kalimah Allahuakbar…sambil menghentak kaki sekuat tenaganya…sejurus itu juga tabir gerbang pintu berjatuhan ke lantai dan rumah Pakrul Liman terasa bergegar seketika.

    Serentak jatuhnya hentakan kaki Megat Koming, buluh nipis itu terus pecah remuk dan seorang beliau tua bermisai panjang juga tersungkur dari kerusi tempat duduknya di halaman rumah dengan mulutnya muntah darah.

    Semua hadirin gempar melihat keadaan beliau tua bermisai panjang yang tersungkur muntah darah.

    “Habislah dia,” kata Megat Koming dan meminta ketua rombongannya tadi membawa masuk Dewata untuk acara bersanding bersama Dara.

    Di dalam ruang persandingan kedua mempelai duduk laksana raja sehari di atas mahligai pelaminan disaksikan oleh kedua-dua keluarga dan sahabat handai yang datang. Tidak kurang usik mengusik daripada sahabat handai kepada mempelai raja sehari dengan tawa yang begitu meriah.

    Di halaman rumah Pakrul Liman suasana menjadi gawat kerana semua mata tertumpu pada seorang beliau tua yang bermisai panjang yang rebah serta merta dengan muntah darah yang banyak dan masih lagi terkapar-kapar.

    Ada juga hadirin yang cuba memberi pertolongan ala kadar kerana mereka tidak tahu cara memberi pertolongan cemas. Akhirnya beliau tua yang bermisai panjang itu beransur sedar dan perlahan-lahan duduk di kerusi tempatnya tadi.

    “Mengapa Liau jatuh pengsan tadi ya?” Beliau tua yang bermisai panjang itu hanya diam tidak mahu menyatakan apa punca dia muntah darah tadi.

    Megat koming keluar ke halaman rumah Pakrul Liman untuk melihat keadaan beliau tua yang tadi muntah dengan banyak.

    Semasa Megat Koming menghampiri beliau tua bermisai panjang itu, dia nampak keadaan orang tua itu mukanya begitu pucat…tidak bermaya lemah dan darah masih mengalir sedikit dari mulutnya.

    Seorang pemuda kawan baik Dewata menghampiri Megat Koming dan berbisik kepada Megat Koming supaya melihat dan menolong sementara kepada beliau tua bermisai panjang yang cungap-cungap umpama nyawa-nyawa ikan itu.

    Megat Koming kelihatan angguk-angguk kepala tanda setuju menolong beliau tua bermisai panjang itu.

    Megat Koming menghampiri beliau tua bermisai panjang yang sudah lemah sehingga duduk di kerusi pun tidak tetap jika tidak ada orang yang membantu memegangnya. Nafasnya kelihatan sesak dan susah baginya bernafas.

    Megat Koming memberi salam kepada beliau tua bermisai panjang. Dia hanya memandang kepada Megat Koming dengan pandangan yang tawar. Dia angguk kepala sedangkan mulutnya masih melelehkan darah.

    “Ambilkan secawan air putih,” pinta Megat Koming kepada pemuda kawan Dewata. Pemuda itu terus bergegas mengambil segelas air.

    “Ini airnya pak Megat…” Dia terus memberikan kepada Megat Koming secawan air…”

    “Beliau…saya cuma ingin menolong liau saja…yang boleh menyembuhkan hanyalah Allah…kita cuma tawakal…izinkan saya ya liau…” Dengan penuh hormat Megat Koming meminta keizinan pada beliau tua bermisai panjang. Megat koming membaca beberapa ayat suci dan memohon agar beliau tua bermisai panjang pulih.

    Seketika itu juga Megat Koming memberikan beliau tua bermisai panjang itu agar meminum air tersebut. Beliau tua bermisai panjang mengambil cawan berisi air yang ditawari oleh Megat Koming sambil menjeling dengan pandangan sinis.

    Mulutnya kumat-kamit tetapi tidak kedengaran apa yang dia maksudkan. Dengan tenaga lemahnya dia menyiramkan air di dalam cawan itu kepada muka Megat Koming…

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Dendam Tok Darud

    Dendam Tok Darud

    Dendam Tok Darud

    Disyorkan Untuk Awda