Oleh Dhil –
Aku tidak pernah menyangka perkahwinan yang selama ini aku pertahankan dengan sepenuh jiwa akan dihancurkan oleh sesuatu yang lebih gelap daripada sekadar kecurangan suami.
Ketika semuanya terbongkar, aku bukan hanya kehilangan cinta, tetapi juga kewarasan.
Perubahan Zahir, suamiku, mula aku rasakan beberapa bulan lalu. Dia sering pulang lewat dengan alasan kerja lebih masa, tetapi aku tahu ada sesuatu yang tidak kena.
Telefon bimbitnya sentiasa dikunci dan dia menjadi mudah marah jika aku bertanya lebih-lebih.
“Aku inda pulang curiga, tapi rasanya hati perempuan ani inda pernah salah,” aku mengadu kepada sahabatku, Farah, suatu petang. Farah memandangku dengan wajah simpati, tetapi dia juga tahu tiada gunanya aku menuduh tanpa bukti.
Suatu malam, ketika aku mencuci baju, aku menemui sesuatu yang membuat darahku mendidih – sehelai selendang merah yang bukan milikku.
Wangian asing melekat pada kain itu, harum tetapi menusuk, membuatkan aku menggigil.
Aku memutuskan untuk mengikutinya. Pada malam tertentu, Zahir keluar lagi, katanya untuk bertemu klien.
Aku menahan sabar, membiarkan dia pergi dahulu sebelum aku mengekori dari jauh.
Keretanya berhenti di sebuah gelanggang badminton di pinggir bandar.
Aku memerhatikan dari luar. Di dalam, ada sekumpulan lelaki dan perempuan bermain badminton.
Salah seorang daripadanya – seorang wanita berbaju sukan merah terang, tersenyum mesra kepada Zahir. Aku tahu dialah pemilik selendang itu.
Tanganku mengepal, tetapi aku menahan diri. Aku ingin melihat sejauh mana ia akan berakhir.
Ketika permainan tamat, Zahir dan wanita itu berbual di tepi gelanggang. Mereka tertawa kecil, wajah Zahir jelas sekali gembira – sesuatu yang sudah lama aku tidak lihat ketika dia bersamaku.
GELANGGANG SUNYI
Keesokan harinya, aku kembali ke gelanggang itu, tetapi kali ini ia sunyi. Tempat itu seperti kosong, walaupun aku tahu orang sering bermain di sini. Namun, aku terdengar bunyi raket jatuh dan bola bergolek di lantai gelanggang.
Aku masuk perlahan-lahan. Tidak ada sesiapa, tetapi bayangan wanita berbaju merah yang aku lihat malam sebelumnya seperti melintas di sudut mataku.
Aku mengejarnya, tetapi tiada siapa yang ada di sana. Hanya bunyi raket berlanggar dengan lantai yang berulang kali bergema.
Aku bertanya kepada seorang penjaga gelanggang tentang wanita itu, tetapi wajahnya berubah ketika aku menyebutkan perihal baju merah.
“Bini-bini jenis cematu inda pernah ada di sini,” katanya dengan suara teragak-agak.
“Tapi… lima tahun lalu, ada perempuan mati di sini.
Dia kena serang oleh orang yang dipercayainya. Tapi, siapa pun inda tahu siapa pembunuhnya,” ujarnya.
Kata-kata penjaga gelanggang itu menusuk ke dadaku. Aku kembali ke rumah dengan fikiran bercelaru.
Ketika malam menjelang, Zahir sekali lagi keluar dengan alasan kerja. Aku tahu dia akan ke gelanggang itu. Tetapi kali ini, aku ingin melihat apa yang sebenarnya berlaku.
MALAM TERAKHIR DI GELANGGANG
Ketika aku tiba, aku mendapati Zahir sudah berada di tengah gelanggang, seorang diri. Dia bercakap sendirian, tetapi seolah-olah berbual dengan seseorang. Suaranya kedengaran merayu.
“Maafkan aku. Aku inda sengaja. Aku takut. Aku panik. Aku inda tahu apa lagi yang aku boleh buat.”
Aku terkaku. Ketika itu aku sedar, dia bercakap dengan sesuatu – atau seseorang – yang tidak kelihatan. Tiba-tiba, di depannya muncul bayangan seorang wanita berbaju merah.
Wajahnya cantik, tetapi pandangannya penuh dendam. Itulah dia, wanita yang mati di gelanggang ini.
Wanita itu berdiri tegak, lalu berbisik sesuatu ke telinga Zahir. Wajah Zahir bertukar pucat, dan dia terjatuh ke lantai.
Aku cuba mendekati, tetapi tubuhku terasa berat, seolah-olah ada tangan yang menahan.
Aku hanya mampu menyaksikan bayangan wanita itu semakin mendekati suamiku.
“Mun kau sanggup hancurkan hidupku, aku pun sanggup hancurkan hidupmu,” kata suara wanita itu. Dan kemudian, dia lenyap bersama angin malam.
PENYESALAN
Zahir kembali ke rumah, tetapi dia tidak lagi seperti dahulu. Dia sering termenung dan bercakap seorang diri. Dia berulang kali meminta maaf kepadaku, tetapi dia tidak pernah menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku.
Aku hanya boleh membuat kesimpulan – hubungan terlarangnya membawa kepada sesuatu yang lebih gelap daripada sekadar kecurangan.
Sejak hari itu, gelanggang badminton itu ditutup. Aku mendengar khabar bahawa beberapa pemain lain juga mula melihat bayangan wanita berbaju merah di situ. Mereka percaya roh wanita itu masih mencari keadilan untuk kematiannya.
Bagi aku, Zahir sudah menerima balasannya. Tetapi, apa yang aku tahu pasti, aku tidak akan pernah lupa malam terakhir di gelanggang itu – malam di mana aku menyaksikan
bagaimana kecurangan membawa kepada kehancuran.