MELBOURNE, 13 MAC – Lewis Hamilton berkata hari ini bahawa dia teruja dan anggap ‘tempoh paling menarik dalam hidup’nya apabila beraksi dengan pasukan Ferrari.
Selepas 12 tahun bersama Mercedes, dia akan berlumba buat kali pertama dengan Ferrari di Grand Prix Australia dengan jangkaan yang sangat tinggi pada hujung minggu ini.
Juara dunia tujuh kali itu secara rasmi memulakan tugas di Scuderia pada Januari selepas perpindahan mengejutnya dan menyelesaikan 162 pusingan ujian di Bahrain.
Pemain berusia 40 tahun itu berkata adalah sukar untuk menilai tempat Ferrari dalam kedudukan yang tinggi pada awal musim ini.
“Jelas sekali tiga hari di dalam kereta, sukar untuk mengetahui di mana kekuatan kami. Tetapi kami hanya cuba bersikap rendah diri dan hanya fokus pada kerja kami,” katanya di Melbourne.
“Tetapi bagi saya, saya tidak sabar untuk beraksi.”
Ferrari bersaing sengit dengan McLaren tahun lepas, kali ketujuh pasukan Itali itu menduduki tempat kedua sejak kali terakhir memenangi kejuaraan pasukan pada 2008.
“Saya mempunyai jangkaan untuk diri saya sendiri. Saya tahu apa yang boleh saya bawa dan lakukan, saya tahu apa yang perlu dilakukan dan hanya tumpukan perhatian dan terus bekerja,” katanya.
“Jadi saya datang dengan fikiran yang sangat terbuka. Ia adalah mengenai memulakan musim ini dengan rentak yang baik.
“Saya masih mempelajari kereta baharu ini yang agak berbeza dengan apa yang saya pandu sebelum ini, dalam erti kata kuasa dari Mercedes masuk ke dalam kuasa Ferrari,” tambahnya.
“Ia sesuatu yang agak baharu, getaran berbeza, rasa berbeza, cara kerja berbeza. Seluruh pasukan bekerja dengan cara yang berbeza.”
Tetapi dia berkata cabaran baharu itu memberi motivasi kepadanya.
“Sudah tentu ini adalah tempoh paling menarik dalam hidup saya, jadi saya benar-benar menikmatinya, dan saya sangat teruja untuk bermula esok,” katanya.
“Lebih cepat awda boleh beraksi di peringkat tinggi dan mendapat keputusan adalah lebih baik. Tetapi diakui, pasti ada tempoh peralihan dan ada asas yang perlu dibina.
“Itulah yang kami lakukan sejak beberapa bulan lalu dan separuh pertama musim ini benar-benar merupakan asas itu, membina hubungan dan kepercayaan sepenuhnya dengan setiap orang dalam pasukan.”
Ditanya apa yang akan menjadi keputusan yang baik di Melbourne, dia menjawab: “Saya fikir saya mahu ke sana dan berikan segala-galanya. Bahawa saya telah cemerlang dalam cara yang saya tahu saya boleh, saya berasa selesa dengan jentera dan selangkah di hadapan yang lain.” – AFP
