Tuesday, July 22, 2025
31.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Denise Richards dakwa selalu didera, diugut suami

    Pelakon Denise Richards memfailkan perintah larangan sementara terhadap suaminya iaitu Aaron Phypers atas dakwaan penderaan fizikal dan ugutan secara berulang sepanjang perkahwinan mereka.

    Menurut dokuman mahkamah yang difailkan di Mahkamah Tinggi Los Angeles, Amerika Syarikat, Richards mendakwa Phypers beberapa kali mencekik, menampar wajahnya, menghentakkan kepala ke rel tuala di bilik mandi serta mengugut untuk membunuh.

    Malah, Phypers juga didakwa telah menggodam komputer riba dan telefon bimbit milik aktres berkenaan untuk mendapatkan akses mesej peribadi.

    “Saya sering berada dalam ketakutan dan bimbang sekiranya dia (Phypers) mencederakan atau membunuh saya,” katanya dalam laporan CNN.

    Dalam pada itu, Richards turut berkongsi foto memaparkan keadaan dirinya yang mengalami lebam pada bahagian mata sebagai bukti untuk pemfailan perintah larangan itu, menurut laporan mStar.

    Phypers bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut menerusi kenyataan balas yang dibuat kepada majalah People.

    “Saya tidak pernah menyakiti Denise (isteri) secara fizikal atau emosi. Tuduhan ini tidak benar dan amat menyakitkan,” ujarnya.

    Dakwaan ini dilaporkan timbul selepas beberapa minggu Phypers memfailkan perceraian terhadap Richards.

    Untuk rekod, Richards berkahwin dengan Phypers pada 2018, namun pasangan ini tidak dikurniakan cahaya mata. – Agensi

    Richards (kanan) mendakwa menjadi mangsa keganasan rumah tangga. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda