COPENHAGEN, 15 NOV – Ketua jurulatih Denmark, Kasper Hjulmand berkata pasukan itu akan ‘memberi tumpuan kepada bola sepak’ di Qatar, selepas FIFA menolak permintaan negara itu untuk menyarung jersi khas yang memperjuangkan hak asasi manusia semasa sesi latihan.
Bercakap kepada wartawan sebelum skuad Denmark berlepas ke Piala Dunia, Hjulmand berkata sebagai satu kumpulan mereka ‘memutuskan kami akan memberi tumpuan kepada bola sepak.’
“Kini kami berada di sini, sehari sebelum kami melakukan perjalanan dan harapan kami boleh mendarat dengan selamat sebelum turun melaksanakan tugas,” kata Hjulmand.
Minggu lalu, FIFA menolak permintaan Denmark untuk menyarung jersi yang mengandungi mesej ‘Hak asasi manusia untuk semua’ semasa sesi latihan di Qatar.
“Kami tidak akan memakai jersi itu sama sekali,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bolasepak Denmark (DBU), Jakob Jensen.
Jensen berkata, walaupun keputusan FIFA tidak membenarkan jersi itu mengikut ‘prosedur standard’, beliau percaya mesej itu ‘tidak terlalu berunsur politik kerana ia sepatutnya disokong setiap orang.’
Qatar berdepan kritikan kerana rekod buruk hak asasi manusianya mengenai layanan pekerja asing dalam projek infrastruktur utama untuk Piala Dunia dan.
Pada masa sama Jensen menyuarakan sentimen Hjulmand.
“Pemain datang ke sini untuk bermain bola sepak, mereka mengimpikan untuk memenangi Piala Dunia, mereka sepatutnya fokus untuk bermain,” kata Jensen, sambil menambah terpulang kepada beliau ‘dan kepimpinan FA Denmark untuk berbincang mengenai hak asasi manusia’.
“Mereka bebas untuk meluahkan perasaan, sesetengah daripada mereka melakukannya, tetapi okay juga sesetengah daripada mereka hanya mahu memberi tumpuan kepada bola sepak,” katanya. – AFP